PUTRAJAYA – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadab seorang menteri daripada rejim zionis yang memasuki kawasan Masjid Al‐Aqsa di Baitulmaqdis Timur pada 7 April 2026.
Kementerian Luar berkata, tindakan provokasi iyang dilakukan semasa masjid ditutup kepada umat Islam, merupakan pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa, resolusi PBB, dan kesucian tapak ketiga paling suci dalam Islam.
“Tindakan tidak bertanggungjawab ini mengancam keamanan dan kestabilan serantau, serta menjejaskan hak beragama umat Islam di seluruh dunia.
“Malaysia menegaskan perlindungan dan penghormatan terhadap Masjid Al‐Aqsa dan tapak suci lain di Baitulmaqdis merupakan tanggungjawab yang tidak boleh dirunding di bawah undang-undang antarabangsa,” katanya menerusi kenyataan, pada Rabu.
Sehubungan itu, Kementerian Luar yang turut dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan, Malaysia menyeru komuniti antarabangsa supaya mengutuk tindakan Israel dengan tegas.
Katanya, setiap pihak perlu menuntut agar rejim tersebut segera menghentikan semua tindakan agresif, menghormati kesucian tapak suci, dan mematuhi sepenuhnya undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Langkah-langkah konkrit mesti diambil untuk mencegah sebarang pelanggaran selanjutnya dan memastikan tapak suci di Baitulmaqdis kekal selamat, dilindungi, dan boleh diakses oleh semua jemaah.
“Malaysia menegaskan solidariti padu dengan rakyat Palestin serta komitmen untuk memelihara warisan agama, budaya, dan kebangsaan mereka.
“Malaysia juga menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” katanya.








