
KANGAR – Hasrat seorang pesara, Mohd. Arshad Hanapiah, 73, untuk bercuti di Thailand bersama ahli keluarganya tidak kesampaian maut dalam kemalangan jalan raya di Behor Mali dekat sini.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, van dinaiki mangsa bersama tujuh yang lain termasuk pemandu terbabas dan merempuh sebatang pokok di Jalan Kangar – Alor Setar pada pukul 5.20 pagi tadi.
Katanya, mamgsa yang beralamat di Jalan Sultanah, Alor Setar di Kedah meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu van berusia 29 tahun mengalami luka pada tangan.
“Enam mangsa lain terdiri daripada dua lelaki dan empat perempuan turut cedera. Kesemua mangsa terlibat merupakan satu keluarga berusia dalam lingkungan 11 hingga 73 tahun.
“Kesemua mereka dalam perjalanan dari Alor Setar menuju ke Kangar sebelum pergi wilayah Krabi untuk bercuti di negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Yusharifuddin, siasatan awal polis mendapati, ketika van dipandu lelaki yang beralamat di Sungai Petani, Kedah itu terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum merempuh sebatang pokok di bahu kiri jalan.
“Siasatan lanjut di lokasi kejadian menemui kesan perlanggaran pada pokok, bahagian hadapan sebelah kiri van remuk teruk dan tiada kesan brek ditemui di lokasi kejadian.
“Siasatan mendapati tiada kesan perlanggaran melibatkan kenderaan lain dan hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu yang terbabas sendiri ke sebelah kiri jalan lalu melanggar pokok,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.




