SUDAH tiba masanya Malaysia memperkenalkan Akta Keharmonian Nasional bagi memperkukuh hubungan antara kaum, memupuk persefahaman, serta memastikan perpaduan negara terus terpelihara.
Aktivis perlindungan sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kebelakangan ini, berlakunya peningkatan kenyataan berbaur sensitif, provokasi kaum dan agama, serta penyebaran naratif yang boleh memecahbelahkan masyarakat, khususnya melalui media sosial.
Sehubungan itu, beliau berpandangan,
perkembangan tersebut menuntut satu pendekatan lebih menyeluruh dan tersusun bagi memelihara perpaduan di samping keharmonian nasional.
“Undang-undang itu adalah satu langkah penting ke arah memperkukuh integrasi nasional serta memastikan keharmonian negara terus terpelihara.
“Akta Keharmonian Nasional harus dirangka secara seimbang supaya ia memperkukuh perpaduan tanpa menjejaskan kebebasan bersuara yang sah dan menyekat perbezaan pandangan.
“Akta itu dilaksana untuk mencegah ucapan kebencian dan tindakan yang boleh menggugat keharmonian negara,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.
Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, akta berkenaan dilihat mampu menyediakan garis panduan yang jelas dalam mempromosikan sikap hormat-menghormati, toleransi dan hidup bersama secara aman dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama.

“Ia juga dapat menangani tindakan yang mencetuskan kebencian, permusuhan dan diskriminasi dan akta ini wajar memberi penekanan kepada pendekatan pendidikan, dialog, dan perdamaian berbanding semata-mata hukuman,” katanya.
Beliau Pengerusi Alliance for a Safe Community memaklumkan, seiring dengan pengenalan akta itu, adalah penting untuk menubuhkan Suruhanjaya Keharmonian Nasional bagi memastikan pelaksanaan akta ini berjalan dengan berkesan.
Jelasnya, agensi itu boleh berperanan untuk menggalakkan dialog antara kaum dan agama, bertindak sebagai badan mediasi dalam isu sensitif, melaksanakan program pendidikan dan kesedaran mengenai perpaduan.
“Ia juga berkemampuan untuk memberi nasihat kepada kerajaan mengenai dasar berkaitan keharmonian nasional serta memantau perkembangan isu yang berpotensi mencetuskan ketegangan.
“Pada masa sama, ia boleh berfungsi bagi menjalankan penyelidikan dalam memperkukuh integrasi nasional dan bekerjasama dengan sekolah, universiti, badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin masyarakat,” katanya.





