
PAPAR – Daerah Papar mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai lokasi persinggahan utama bagi pelawat dan pengguna jalan raya dari negara Brunei dan negeri Sarawak, khususnya apabila projek Lebuhraya Pan Borneo siap sepenuhnya serta pembangunan Bandar Benoni (Benoni Commercial Centre) dimanfaatkan sepenuhnya.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kedudukan strategik Papar yang terletak di laluan utama lebuh raya berkenaan menjadikannya antara kawasan yang berpotensi tinggi untuk menerima kunjungan pelawat dari luar, termasuk pelancong dan peniaga rentas sempadan.
”Apabila Pan Borneo siap sepenuhnya kelak, pengguna jalan raya hanya akan mengambil masa yang lebih singkat untuk ke Kota Kinabalu.
”Perancangan rapi serta pelaksanaan pembangunan yang tersusun adalah penting bagi memastikan Papar bukan sahaja menjadi tempat persinggahan, malah berkembang sebagai destinasi yang mampu menarik lebih ramai pengunjung pada masa akan datang,” katanya semasa merasmikan Restoran Famous Salim Nasi Kandar, Bandar Benoni, di sini pada Sabtu.
Tambah Masidi, perkembangan tersebut bukan sahaja akan meningkatkan keterhubungan antara daerah, malah membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk tempatan melalu aiktiviti perniagaan, perkhidmatan dan pelancongan.
”Dengan kesiapsiagaan infrastruktur serta penambahbaikan kemudahan asas, Papar mampu menawarkan pelbagai fasiliti seperti tempat rehat, pusat komersial, serta produk pelancongan yang menarik.
”Pembangunan fasiliti baharu ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat,sekali gus meningkatkan pendapatan dan taraf hidup masyarakat.
”Oleh itu, saya menyeru para peniaga tempatan, khususnya golongan Bumiputera, agar sentiasa berhemah dan berdisiplin dalam mengurus kewangan perniagaan.
”Kepentingan menyimpan modal serta membuat caruman untuk pelaburan semula dalam perniagaan sebagai langkah memperkukuh kedudukan ekonomi dan menjana pendapatan yang lebih lumayan pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, Masidi turut memuji restoren tersebut kerana berjaya memenuhi kriteria yang ditetapkan, khususnya dalam aspek kebersihan dan penyediaan makanan yang kepada pelanggan.
”Syabas dan tahniah atas pembukaan cawangan baharu di sini, bukan sahaja memperkembangkan perniagaan, tetapi juga turut membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
”Saya juga ingin mengingatkan kepada semua agar sentiasa menjaga kebersihan persekitaran serta mengamalkan gaya hidup sihat bagi memastikan tahap kesihatansentiasa terpelihara, sekali gus mengelakkan penularan penyakit berbahaya,” kongsinya.
Hadir sama pada program ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Datuk Haji Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra, ADUN imbahau Datuk Juil Nuatim, Pengarah Urusan Famous Salim Nasi Kandar (M) Sdn Bhd, Ajulahin Japin dan Pengarah Urusan WSG Properties Sdn Bhd, Datuk Susan Wong Siew Guen.





