IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penghantaran Misi Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza bersama delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 sebagai sedekah jariah bagi membantu rakyat Palestin yang sedang berdepan penderitaan termasuk kebuluran.
Beliau berkata, misi bantuan yang turut membawa bekalan ubat-ubatan itu tetap diteruskan walaupun Malaysia turut menerima kesan ekonomi susulan konflik yang berlaku di Asia Barat.
Menurutnya, usaha memastikan bantuan berkenaan sampai ke Gaza memerlukan kerjasama kerajaan Mesir bagi membuka laluan di sempadan Rafah.
“Ada orang dok (asyik) main (isu): Oh, Anwar ini telefon saja… kalau tidak telefon, kita tidak boleh lepas untuk ke Rafah.
“Saya kena menelefon Presiden Abdel Fatah el-Sisi yang menganggap kita sebagai sahabat, minta tolong buka laluan untuk 30 kontena itu.
“Orang sana (Gaza) kebuluran, masih kita tolong. Maknanya dalam kita susah pun, kita cuba membantu orang yang lebih susah daripada kita. Semangat ini harus ada memandangkan ia sedekah jariah dan bukan orang kaya saja yang bagi sedekah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jalinan Mesra MADANI Taman Perpaduan Koperasi, Tambun di pekarangan Masjid Ar-Rashid, di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, kerajaan turut mengambil pendekatan berjimat cermat dalam menguruskan kewangan negara susulan tekanan ekonomi akibat konflik di Asia Barat.
Beliau berkata, sebagai tanda teladan, beliau tidak mengambil gaji sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Tambun sejak tiga tahun lalu kerana ekonomi negara masih belum pulih sepenuhnya.
“Gaji Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Tambun sudah tiga tahun saya tidak ambil. Saya fikir kalau ekonomi sudah baik, maka saya hendak ambillah balik sebab orang lain semua dapat gaji… tetapi ekonomi tak elok pula sekarang.
“Tidak mengapa, saya tidak miskin kerana saya datang ke sini dengan kapal terbang kerajaan, kereta kerajaan… Jadi saya tak susah, namun saya kena beritahu kawan-kawan saya supaya berjimat,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan itu adalah pendirian peribadi dan tidak seharusnya dijadikan ukuran kepada pemimpin kerajaan lain termasuk Menteri Besar.
“Ada orang lain pula kata kalau Perdana Menteri tidak mengambil gaji, maka fasal apa Menteri Besar ambil gaji… ini pun hujahnya tidak betul sebab itu (gaji) adalah hak dia. Yang kita tidak mahu bagi ialah curi dan rasuah,” katanya.





