Ibu kandung, bapa tiri antara empat ahli keluarga dituduh bunuh kanak-kanak perempuan

TAIPING – Ibu kandung antara empat sekeluarga dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun dalam kejadian tragis di Taman Sungai Mas, minggu lalu.

Tertuduh ialah M Satis Kumar, 27, yang juga bapa tiri mangsa; M Savathri, 28, ibu kandung; serta ibu bapa lelaki itu, S C Veeraletchumy, 53, dan M Murali, 49.

Kesemua mereka hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret R Prabakaran.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat tertuduh didakwa secara bersama menyebabkan kematian kanak-kanak itu, Thanavitha,di sebuah rumah di Taman Sungai Mas dalam daerah Larut, Matang dan Selama kira-kira pagi 26 Mac 2026.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farihah Adilah Fazial, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan yang dihadapi adalah serius.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan itu dan menetapkan 15 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan bedah siasat, forensik serta ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan tiada jaminan dibenarkan.

Prosiding turut dihadiri peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa iaitu Dinesh Muthal, Devaneson Ganesan dan Low Tze Ken.

Di luar mahkamah, suasana bertukar tegang apabila beberapa ahli keluarga mangsa dilihat berkumpul sambil membawa gambar kanak-kanak terbabit. Kedengaran mereka memarahi tertuduh dalam bahasa Tamil ketika kesemua individu berkenaan dibawa masuk ke dewan mahkamah.

Difahamkan mangsa sebelum ini tidak tinggal bersama ibunya sejak berusia tiga tahun dan hanya kembali menetap bersama wanita itu kira-kira tiga bulan lalu selepas dijaga saudara lain.

Media sebelum ini melaporkan mangsa dibawa ke Hospital Taiping dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia pada 26 Mac lalu.

Pemeriksaan lanjut menemui beberapa kesan kecederaan mencurigakan pada tubuhnya.

Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan pada bahagian kepala dan leher dipercayai akibat hentakan objek tumpul.

Related Posts

Lebih 115,000 pengunjung, Sarikei cipta rekod baharu Program Sarawakku Sayang

SARIKEI – Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sarikei mencatat sejarah tersendiri apabila merekodkan kehadiran seramai 115,150 pengunjung, sekali gus menjadi jumlah tertinggi sepanjang penganjuran program berkenaan di Sarawak tahun ini.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Jururawat tunjang utama sistem kesihatan negara

LIMBANG – Profesion kejururawatan diiktiraf sebagai tunjang utama dalam memastikan kelancaran sistem penjagaan kesihatan negara, selain bertindak sebagai penghubung penting antara pesakit dengan pasukan perubatan. Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Lebih 115,000 pengunjung, Sarikei cipta rekod baharu Program Sarawakku Sayang

Lebih 115,000 pengunjung, Sarikei cipta rekod baharu Program Sarawakku Sayang

Jururawat tunjang utama sistem kesihatan negara

Jururawat tunjang utama sistem kesihatan negara

Langkah Jiwa Merdeka KMJG dekati masyarakat, semarak patriotisme

Langkah Jiwa Merdeka KMJG dekati masyarakat, semarak patriotisme

Setiap projek Rumah Selangorku wajib sedia hentian bas

Setiap projek Rumah Selangorku wajib sedia hentian bas

Laporan RCI Tabung Haji bukti wujud ‘pengkhianat’ Melayu Islam

Laporan RCI Tabung Haji bukti wujud ‘pengkhianat’ Melayu Islam

Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan gesa tolak politik fitnah, perpecahan

Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan gesa tolak politik fitnah, perpecahan