
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan terhadap 17 individu yang dipercayai terlibat dalam penyebaran maklumat palsu berhubung kenaikan harga bahan api serta pelaksanaan tarif elektrik baharu di media sosial.
Dalam kenyataan rasmi, MCMC memaklumkan bahawa lapan individu telah dipanggil bagi tujuan rakaman percakapan susulan hantaran berunsur tidak benar berkaitan isu berkenaan.
Sembilan lagi individu kini masih dalam pemantauan dan dijangka akan dipanggil dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Menurut MCMC, pihaknya memandang serius penyalahgunaan platform media sosial yang bertujuan mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat tidak sahih.
“Penyebaran maklumat palsu ini boleh menimbulkan suasana panik dan kegelisahan kepada pengguna.
“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada,” kata agensi itu.
Terdahulu, laporan media menyatakan bahawa Buletin TV3 menerima aduan mengenai penyebaran maklumat harga minyak yang tidak benar menggunakan logo dan identiti visualnya.
Sehubungan itu, Buletin TV3 menafikan pernah mengeluarkan atau menerbitkan maklumat sedemikian seperti yang tular di media sosial.
Walau bagaimanapun, Buletin TV3 menjelaskan bahawa pihaknya ada menghasilkan poster berkaitan perkembangan tersebut, namun kandungannya disediakan berasaskan sumber rasmi daripada Kementerian Kewangan (MoF).







