BARU-BARU ini Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, dahulu apabila laluan di Selat Hormuz terganggu, harga minyak naik 80 sen. Kini, apabila laluan itu kembali dibuka, harga minyak naik lagi 50 sen.
Katanya, turunkan harga minyak, atau rakyat akan ‘turunkan’ kerajaan.
Lucu.
Datuk Seri, secara politik, kenyataan ini ada faktor penarik.
Tetapi secara ekonomi, realitinya tidak semudah menulis di Facebook semata-mata.
Pertama, harga minyak dunia tidak ditentukan oleh Selat Hormuz semata-mata. Ianya bergantung kepada banyak perkara, antaranya:
i. Bekalan global
ii. Permintaan dunia
iii. Risiko geopolitik
iv. Kadar mata wang
v. Stok simpanan minyak global
vi. Keputusan negara pengeluar seperti OPEC
Selat Hormuz hanyalah salah satu indikator dalam naik turun harga minyak, bukan penentu mutlak. Sila fahami.
Apabila laluan itu terganggu, pasaran panik.
Lagipun laluan itu belum dibuka semula, hanya beberapa negara termasuk Malaysia yang dibenarkan melaluinya dengan tol atau tanpa tol.
Malaysia dibenarkan lalu tanpa tol pun adalah kerana keberkesanan rundingan diplomasi oleh Kerajaan MADANI.
Datuk Seri, pasaran global bergerak berdasarkan jangkaan masa depan, bukan sekadar situasi semasa.
Kedua, walaupun Malaysia menghasilkan minyak, kita juga:
i. Mengimport minyak siap ditapis
ii. Bergantung kepada pasaran global
iii. Menggunakan formula harga automatik (APM)
iv. Menanggung subsidi untuk lindungi rakyat
Ini bermakna, kerajaan tidak boleh sesuka hati turunkan harga tanpa mengambil kira kesan ke atas fiskal negara.
Datuk Seri, di sinilah bezanya politik dan pentadbiran.
Dalam berpolitik, pembangkang hanya memerlukan retorik yang kuat. Manakala, bagi pihak kerajaan, keputusan perlu dibuat secara berkesan dan bertanggungjawab.
Rakyat memang mahu harga minyak turun. Bukan di Malaysia sahaja, malah seluruh dunia.
Namun realitinya, yang rakyat perlukan ialah ekonomi yang stabil, subsidi bersasar yang tepat, inflasi yang terkawal dan nilai ringgit yang kukuh.
Semua ini memerlukan pengurusan ekonomi yang berkesan, seperti yang dilakukan oleh PMX dan Kerajaan MADANI.
Tidak salah mencadang, namun berilah cadangan yang relevan dan bertepatan dengan mekanisme-mekanisme pengurusan fiskal.
*Suwadi Guliling ialah Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)








