
BEIRUT – Kementerian Kesihatan Lubnan dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa jumlah kematian akibat serangan Israel telah mencecah 2,169, dengan 10,212 cedera sejak 8 Oktober tahun lalu.
Terdahulu, sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dan 117 yang lain cedera dalam dua serangan udara Israel ke atas kawasan kejiranan di bahagian tengah Beirut, lapor Anadolu.
Menurut wartawan Anadolu, serangan di kawasan kejiranan Ras Al Naba’a dan Basta Al Fawqa telah menyebabkan kepulan asap tebal di salah satu bangunan yang berpenduduk padat.
Kementerian Kesihatan Lubnan dalam satu kenyataan awal memaklumkan bahawa, jumlah kematian akibat serangan udara telah menyebabkan 22 maut dan 117 yang lain cedera.
Agensi Berita Kebangsaan rasmi Lubnan pula melaporkan, serangan udara pertama di Beirut melibatkan tingkat tiga sebuah bangunan lapan tingkat di kawasan Nowayri manakala serangan kedua memusnahkan bangunan empat tingkat di Jalan Fathallah di Basta Al Fawqa.
Menurut Saluran 12 Israel, serangan terbaru tentera Israel di Nowayri adalah untuk menyasarkan ketua penyelarasan dan perhubungan Hizbullah, Wafik Safa yang mana dia bertanggungjawab ke atas hubungan luar parti dan penyelarasan dengan pelbagai pihak.
Safa memainkan peranan penting sebagai pengantara antara Hizbullah dengan masyarakat antarabangsa dan agensi keselamatan Lubnan.
Sejak 23 September lalu, tentera Israel telah melancarkan serangan udara besar-besaran keatas Lubnan sehingga membunuh lebih 1,351 mangsa dan mencederakan 3,800 rakyat tidak berdosa.








