
KUCHING – Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang berkuat kuasa 26 Oktober membuka lembaran baharu persaingan politik negeri ini dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Baram mengekalkan hasrat untuk bertanding di tiga kerusi, iaitu Marudi, Telang Usan dan Mulu, pada Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN13).
Pembubaran sebelum ini diumumkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 23 Oktober lalu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Tumpuan kini beralih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang bakal mengadakan mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh-tarikh penting termasuk penamaan calon dan hari pengundian.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Cabang PKR Baram, Roland Engan berkata, keputusan untuk bertanding di tiga kawasan berkenaan dibuat menerusi mesyuarat khas jawatankuasa PKR Baram pada 25 Oktober 2026.
Menurutnya, bakal calon bagi ketiga-tiga kerusi sudah dikenal pasti dan persiapan menghadapi pilihan raya sedang dilaksanakan.
Langkah itu memperlihatkan usaha PKR Baram memperkukuh kedudukan politiknya di kawasan pedalaman. Namun, cabaran utamanya adalah menterjemahkan persiapan organisasi kepada sokongan pengundi dalam persaingan yang turut dipengaruhi isu pembangunan, hak tanah adat dan keperluan masyarakat tempatan.
PKR Baram turut melihat PRN13 dalam konteks berbeza kerana parti itu kini merupakan sebahagian daripada gabungan yang membentuk Kerajaan Persekutuan. Kedudukan berkenaan dilihat membuka ruang untuk membawa isu rakyat pedalaman ke peringkat lebih tinggi, meskipun ia tidak secara automatik menjamin kelebihan politik di peringkat negeri.
Pada masa sama, menerusi ciapan di Facebook rasmi PKR P220 Baram, parti itu menyatakan keterbukaan untuk bekerjasama dengan mana-mana parti atau gerakan yang berkongsi aspirasi perjuangannya, khususnya dalam mempertahankan hak tanah adat, memperjuangkan pembangunan seimbang serta memperluas peluang ekonomi dan pendidikan masyarakat pedalaman.

Bagaimanapun, setakat kenyataan dikeluarkan semalam, tiada parti atau perjanjian pembahagian kerusi tertentu diumumkan sebagai sebahagian daripada kerjasama politik berkenaan.
Dengan proses pilihan raya kini memasuki fasa baharu, perhatian bukan sahaja tertumpu pada penetapan jadual rasmi oleh SPR, tetapi juga bagaimana parti-parti politik memperincikan strategi dan tawaran masing-masing kepada pengundi.
Bagi PKR Baram, sasaran tiga kerusi itu menjadi ujian terhadap keupayaan parti menggabungkan agenda pembangunan, perjuangan hak masyarakat tempatan dan strategi kerjasama politik.
Persoalan utama ialah sejauh mana komitmen tersebut dapat diterjemahkan kepada cadangan dasar yang jelas serta penyelesaian konkrit terhadap keperluan penduduk Marudi, Telang Usan dan Mulu.
Kesimpulannya, kita tunggu pengumuman SPR terlebih dahulu bagi menentukan tarikh-tarikh penting. Kemudian, pengumuman nama-nama calon bagi setiap parti dan kerusi yang bakal dipertandingkan pada PRN Sarawak kali ini yang sudah pastinya bakal membawa muka-muka baharu memasuki arena politik Sarawak.
Sumber: Facebook rasmi KEADILAN P220 Baram



