
KUCHING – Sebanyak 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tidak akan digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-13 berikutan proses pemuktamadan persempadanan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum selesai.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar berkata, keadaan itu bermakna pilihan raya akan datang kekal melibatkan 82 kerusi sedia ada, meskipun cadangan penambahan kepada 99 kerusi telah diluluskan sebelum ini.
Menurutnya, proses yang diperlukan bagi memuktamadkan 17 kawasan pilihan raya baharu berkenaan masih belum diselesaikan SPR.
“Proses pemuktamadan yang diperlukan masih belum selesai oleh SPR.
“Oleh itu, kawasan DUN baharu ini tidak akan digunakan dalam pilihan raya akan datang,” katanya menerusi kenyataan media pada Selasa.
Asfia berkata, pembubaran DUN Sarawak Ke-19 berkuat kuasa 26 Oktober lalu telah dilaksanakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengikut kuasa yang diperuntukkan di bawah Perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak.
Menurutnya, pembubaran berkenaan menamatkan segala prosiding DUN penggal semasa, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan proses pilihan raya negeri.
Beliau berkata, SPR kini bertanggungjawab mengendalikan proses pilihan raya termasuk mengeluarkan writ pilihan raya serta menyiarkan notis pilihan raya dalam Warta Kerajaan.
Menurutnya, SPR juga akan menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian mengikut tempoh yang ditetapkan undang-undang.
Mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981, hari penamaan calon hendaklah ditetapkan sekurang-kurangnya empat hari selepas notis pilihan raya disiarkan.
Sementara itu, hari pengundian pula perlu ditetapkan sekurang-kurangnya 11 hari selepas hari penamaan calon bagi memastikan tempoh minimum berkempen dipatuhi.
Dalam pada itu, Asfia berkata, Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri Sarawak menetapkan pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.
Beliau menjelaskan bahawa DUN baharu juga perlu dipanggil bersidang oleh Yang di-Pertua Negeri tidak lewat daripada 120 hari selepas tarikh pembubaran.
Untuk rekod, DUN Sarawak pada Julai 2025 meluluskan rang undang-undang bagi menambah 17 kerusi baharu, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan kerusi daripada 82 kepada 99, tertakluk kepada proses persempadanan SPR.
Bagaimanapun, proses tersebut belum dimuktamadkan dan kerusi tambahan berkenaan tidak akan dipertandingkan pada PRN Sarawak Ke-13.
Asfia turut merakamkan penghargaan kepada seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri bagi penggal yang telah dibubarkan atas khidmat dan komitmen mereka terhadap kesejahteraan rakyat Sarawak.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)


