
KOTA BHARU – Polis Kelantan melaksanakan 32,699 operasi penguatkuasaan berkaitan dadah dari Januari hingga September tahun ini, meningkat 0.7 peratus berbanding 32,460 operasi dalam tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat berkata, peningkatan operasi itu menyumbang kepada penurunan kes berkaitan Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 kepada 18,045 kes berbanding 20,476 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Beliau berkata, jumlah tangkapan turut menurun 8.4 peratus kepada 19,746 orang dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding 21,590 orang pada 2025.
Menurutnya, nilai rampasan dadah di Kelantan juga mencatatkan penurunan 44 peratus kepada RM17.25 juta berbanding RM30.79 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Mohd Yusoff berkata, penguatkuasaan berterusan dan pengukuhan kawalan sempadan menjadi antara langkah utama bagi membendung kegiatan pengedaran serta penyeludupan dadah.
Beliau berkata, kempen Jihad Dadah yang dilaksanakan di negeri itu turut menunjukkan perkembangan positif dengan sokongan masyarakat membantu polis membanteras kegiatan berkenaan.
Katanya, kesedaran orang ramai mengenai kaitan penyalahgunaan dadah dengan pelbagai jenayah, khususnya jenayah harta benda, penting bagi memastikan usaha membanteras gejala itu lebih berkesan.
Beliau berkata, polis akan terus mempergiat operasi dan mengambil tindakan tegas terhadap pesalah dadah bagi mengekang pengedaran serta penyalahgunaan bahan terlarang demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Foto: Astro Awani



