
KUALA LUMPUR – Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap warga asing yang terbabit dalam kegiatan jenayah dan kesalahan imigresen, termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa atau menyalahgunakan pas lawatan untuk bekerja.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, tindakan penguatkuasaan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang berkuat kuasa, termasuk menangkap, menahan dan menyiasat individu yang disyaki terbabit dalam kesalahan berkenaan.
Menurutnya, suspek akan didakwa di mahkamah selepas kes dirujuk kepada pihak pendakwaan dan berdasarkan bukti yang diperoleh melalui siasatan.
“Sehubungan itu, penduduk boleh menyalurkan maklumat atau aduan kepada balai polis berhampiran, pegawai perhubungan komuniti atau melalui saluran rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan atau dipercayai melanggar undang-undang,” katanya, seperti dipetik berita tempatan pada Jumaat.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya memberikan maklumat yang jelas ketika membuat aduan, termasuk lokasi, masa, jenis aktiviti serta butiran berkaitan sekiranya ada.
“Orang awam juga dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri atau membuat tuduhan secara terbuka yang boleh menimbulkan ketegangan dalam komuniti.
“Pada masa sama, PDRM sentiasa memastikan setiap aduan dan maklumat dinilai serta disiasat berdasarkan fakta dan bukti yang diperoleh,” katanya.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan tidak dilaksanakan semata-mata berdasarkan kewarganegaraan seseorang, sebaliknya bergantung pada kewujudan unsur kesalahan di bawah undang-undang.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara, selain menghormati hak warga asing yang berada di negara ini secara sah dan mematuhi undang-undang.
Fadil berkata, orang ramai boleh menyalurkan maklumat melalui pelbagai saluran, termasuk hadir ke balai polis berhampiran, menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), talian kecemasan 999 serta menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).


