Gambar hiasan
PETALING JAYA – Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 dijangka bermula pada 27 Oktober ini dan berterusan sehingga Mac 2027, dengan tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan diramal berlaku pada fasa awal monsun berkenaan.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, episod hujan lebat itu berpotensi menyebabkan banjir, khususnya di kawasan berhampiran sungai dan kawasan rendah.
Menurutnya, sepanjang tempoh MTL, angin lazimnya bertiup secara konsisten dari arah timur laut dan boleh menjadi kencang.
“Tiupan angin timur laut yang berterusan dan kencang juga boleh menyebabkan laut bergelora serta meningkatkan risiko kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, orang ramai perlu bersedia menghadapi kemungkinan hujan lebat berterusan dan risiko banjir sepanjang fasa awal monsun, yang dijangka berlangsung dari November 2026 hingga Januari 2027.
Sementara itu, taburan hujan dijangka berkurangan menjelang fasa akhir monsun antara Januari hingga Mac 2027, khususnya di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia dan Sabah.
Keadaan cuaca yang lebih kering itu berpotensi menyebabkan cuaca panas, selain meningkatkan risiko gelombang haba yang lebih ekstrem berikutan pengaruh fenomena El Niño sangat kuat atau Super El Niño yang sedang berlaku.
Sehubungan itu, METMalaysia menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan cuaca semasa, termasuk ramalan serta amaran yang dikeluarkan jabatan berkenaan.
Maklumat terkini boleh diperoleh menerusi laman web rasmi www.met.gov.my, aplikasi myCuaca, saluran media sosial rasmi METMalaysia atau talian hotline 1-300-22-1638.

