
KATA Menteri Luar Negara, Datuk Seri Mohammad Hasan (Tok Mat):
“Yang Amat Berhormat (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan bersuara dengan keras dan tidak pernah tinggal agenda tentang Gaza. Ini saya akui. Sampai saya terpaksa cakap, beritahu Datuk Seri, cukuplah. Cukuplah itu, sebab kita risau juga keselamatan beliau juga.”
Ketegasan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Israel bukan sekadar diukur melalui kecaman di pentas antarabangsa, tetapi melalui dasar dan tindakan yang dilaksanakan kerajaan.
Pertama, Anwar mengekalkan pendirian Malaysia untuk tidak mengiktiraf Israel secara diplomatik. Ini bukan dasar baharu beliau, tetapi kesinambungan dasar negara. Namun, di bawah pentadbirannya, pendirian itu turut disertai tindakan khusus.
Masihkah ingat? Pada 20 Disember 2023, kerajaan melarang kapal berbendera Israel berlabuh di pelabuhan Malaysia dan menarik balik kebenaran operasi syarikat perkapalan Israel, ZIM.
Kedua, Anwar membawa isu Palestin ke peringkat antarabangsa. Pada November 2024, beliau mengetengahkan isu Gaza dalam platform seperti APEC, G20 dan Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam, selain menyatakan bahawa Malaysia telah mencadangkan supaya keanggotaan Israel dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dipersoalkan.
Pada Ogos 2026, beliau turut mengecam rancangan penempatan Israel di kawasan E1, Tebing Barat. Malaysia tidak mahu isu Palestin diketepikan daripada agenda antarabangsa.
Ketiga, komitmen kemanusiaan perlu dibuktikan melalui bantuan sebenar. Pada Ogos 2025, Anwar mengumumkan tambahan RM100 juta untuk Gaza, selepas RM100 juta yang diluluskan dua tahun sebelumnya. Pada Mac 2026, beliau melancarkan misi bantuan 30 kontena seberat 374 tan, dengan jangkaan manfaat kepada lebih 100,000 rakyat Palestin.
Keempat, ketegasan melangkaui kenyataan politik. Pada September 2026, Anwar menegaskan bahawa Malaysia tidak akan membenarkan negara ini menjadi laluan transit bagi kargo yang menyumbang kepada keupayaan ketenteraan Israel.
Palestin tidak pernah sendiri, Gaza tidak pernah kami lupakan. Malaysia stand firm, and strongly proud menyokong Palestin dan mengecam Israel.
Teruskan bersuara, jangan sampai dunia lupa, di sana, di tanah para anbiya, ada saudara-saudara kita yang diragut nyawa hak-hak mereka secara paksa.
*Suwadi Guliling ialah Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)


