Bruno Fernandes
SKUAD gergasi England, Manchester United diaibkan dengan kekalahan memalukan 1-4 di tangan kelab kerdil Itali, Como, dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi.
Wira Como, Nico Paz menjadi mimpi ngeri buat United apabila meledak dua gol sensasi untuk menghadiahkan kemenangan bersejarah buat anak buah Cesc Fabregas.
Dua lagi gol masing-masing disumbat Tasos Douvikas dan Jacobo Ramon, melengkapkan malam neraka buat The Red Devil.
Gol saguhati Joshua Zirkzee di hujung perlawanan langsung tidak bermakna apabila United kini merekodkan tujuh perlawanan tanpa kemenangan dalam semua pertandingan!
Tekanan terus memuncak buat Michael Carrick dan nasib pengurus itu kini umpama telur di hujung tanduk selepas skuadnya melalui enam aksi liga tanpa kemenangan — tiga seri, tiga kalah — sekali gus mencatat permulaan paling buruk dalam tempoh 40 tahun.
Como bermula garang apabila Paz meledak seawal minit ke-2 sebelum Douvikas menghukum kelekaan benteng United tiga minit selepas rehat.
Paz sekali lagi menghukum kesilapan keanak-anakan Carlos Baleba untuk gol ketiga pada minit ke-57, sebelum Ramon menanduk masuk gol keempat yang terus membenam United di dasar kehinaan.
Carrick cuba mengubah nasib dengan dua pertukaran di separuh masa, namun segalanya sia-sia.
Pertahanan United terus rapuh apabila hanya merekodkan satu perlawanan tanpa bolos dalam 11 aksi musim ini — statistik yang cukup memalukan!
Como kini melonjak dengan enam mata hasil kemenangan kedua fasa liga, manakala United terus tenggelam dalam krisis persembahan.



