
PASIR MAS – Tiga lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan penyelewengan 1.7 tan minyak masak bersubsidi dalam operasi bersepadu di Kampung Kubang Chenak, Chetok, di sini pada Rabu.
Operasi kira-kira jam 3 petang itu turut menyaksikan penyitaan dua kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero dan Mitsubishi Triton.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi dengan membelinya daripada pemborong sebelum mengumpulkannya untuk tujuan penyelewengan.
“Pemeriksaan lanjut turut menemukan enam helai invois pembelian minyak masak dan dua unit cop perniagaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk minyak masak dan kedua-dua kenderaan dianggarkan RM69,250,” katanya.
Operasi itu dilaksanakan Unit Risikan dan Tindakan Khas (URTK) serta pasukan rondaan KPDN Kelantan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor.
Hanif Yusabra berkata, semua minyak masak, kenderaan dan dokumen berkaitan disita bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 20(1) dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Gambar: Sinar Harian



