
PAS tidak boleh menafikan sejarah kerjasama politiknya dengan DAP ketika era Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat, meskipun kini mengkritik hubungan Pakatan Harapan (PH) dengan parti itu, kata ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN), Prof Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi.
Beliau berkata, kerjasama antara Pas dengan DAP pernah berlaku ketika parti Islam itu dipimpin Allahyarham Datuk Fadzil Noor dan Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat, justeru sejarah berkenaan tidak sepatutnya diketepikan mengikut kepentingan politik semasa.
“Pas pun bersendi dengan DAP ketika era Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Kalau Pas mahu memadamkan sejarah itu, mereka perlu mengatakan bahawa Nik Aziz dan Fadzil Noor juga tidak betul kerana kerjasama itu berlaku ketika mereka memimpin Pas.
“Pas tidak boleh menafikan bahawa mereka pernah bekerjasama. Itu sejarah. Hendak memusingkan cerita bagaimana sekalipun, kita tidak boleh menolak apa yang sudah berlaku,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, semalam, yang mengaitkan hubungan Perdana Menteri, PH dan DAP dengan dakwaan pencabulan Perlembagaan serta kemelut politik di Negeri Sembilan.
Ketika perbahasan itu, Hadi mendakwa berlaku campur tangan pihak tertentu dalam urusan Negeri Sembilan sehingga menjejaskan prinsip demokrasi, Raja Berperlembagaan dan pembahagian kuasa antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.
Beliau turut mempersoalkan tindakan terhadap 10 anggota Exco negeri yang dilantik sebelum ini, termasuk dakwaan mereka berdepan penamatan perkhidmatan dan tidak dibenarkan memasuki pejabat.
Hadi menyifatkan keadaan itu sebagai membimbangkan dan mendakwa terdapat pihak yang mencampuri urusan negeri berkenaan.
Mengulas dakwaan itu, Mohd Tajuddin mempersoalkan asas kenyataan Hadi yang mendakwa berlaku pencabulan Perlembagaan, termasuk meminta beliau menjelaskan peruntukan khusus yang dikatakan dilanggar.
Beliau berkata, tindakan Exco mengumumkan penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan menimbulkan persoalan mengenai bidang kuasa kerana, menurut pandangannya, urusan proklamasi sedemikian terletak di bawah Dewan Keadilan dan Undang (DKU), bukannya Exco.
“Jadi, di mana yang dikatakan melangkaui Perlembagaan? Perlembagaan negeri juga jelas bahawa jika seseorang hendak dijatuhkan atau diturunkan, perlu ada proses siasatan dan individu berkenaan perlu diberi peluang untuk mempertahankan diri.
“Kita tidak nampak proses itu berlaku ketika kenyataan berkenaan dibuat. Jadi, perlembagaan mana yang beliau maksudkan dan campur tangan bagaimana yang dikatakan berlaku?” katanya.
Beliau turut membangkitkan isu penggantungan tugas pegawai kerajaan negeri, dengan menegaskan bahawa tindakan tatatertib perlu dilaksanakan menerusi saluran dan prosedur yang ditetapkan, bukannya diputuskan sewenang-wenangnya oleh ahli politik.
Katanya, urusan berkenaan perlu dirujuk kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengendalikan perkhidmatan awam dan tatatertib sebelum sebarang keputusan dibuat.
Dalam pada itu, Mohd Tajuddin berkata, kerjasama Pas dengan DAP pada masa lalu turut membantu parti itu memperoleh penerimaan dalam kalangan pengundi bukan Islam, khususnya di kawasan bandar yang sebelum itu sukar dimenangi Pas.
Menurutnya, kerjasama politik berkenaan merupakan sebahagian daripada sejarah perkembangan PAS dan tidak boleh dinafikan hanya kerana pendirian parti itu terhadap DAP berubah mengikut perkembangan politik semasa.
Beliau turut mempersoalkan percubaan membezakan kerjasama Pas dengan DAP pada masa lalu daripada hubungan PH dengan parti itu hari ini, sedangkan kedua-duanya membabitkan kerjasama antara parti yang mempunyai latar belakang dan pendirian berbeza.
Sementara itu, berhubung pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN), Mohd Tajuddin menyifatkan perkembangan itu sebagai kegagalan kepemimpinan gabungan berkenaan menguruskan hubungan antara parti komponennya.
Katanya, isu itu tercetus susulan aduan Bersatu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung dakwaan parti berkenaan tidak dijemput menghadiri mesyuarat gabungan itu.
Beliau berkata, persoalan utama yang perlu dijawab ialah sama ada Bersatu benar-benar tidak dijemput menghadiri mesyuarat berkenaan, seperti dinyatakan dalam aduannya.
“Isunya mudah sahaja. Kenapa tidak jemput? Atau betulkah mereka tidak dijemput? Kalau Bersatu menyatakan mereka tidak dijemput, perkara itu perlu dijelaskan.
“Kalau mahu mendakwa tindakan RoS bermotifkan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, semak dahulu prosedur operasi standard agensi itu. Jangan membuat tuduhan tanpa asas,” katanya.
RoS pada 20 Oktober lalu mengumumkan pembatalan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan yang dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan seperti dinyatakan dalam notis terdahulu.
Hadi sebelum ini menyatakan Pas bersama parti komponen PN yang sehaluan akan mengambil tindakan mahkamah bagi mencabar keputusan itu, selain meneruskan persiapan menghadapi PRN Melaka.



