
PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diingatkan supaya memahami dan mematuhi perlembagaan gabungan itu sebelum menyalahkan kerajaan berhubung pembatalan pendaftarannya.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin berkata, tindakan menyifatkan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) sebagai luar biasa dan bermotifkan ketakutan tidak menjawab persoalan sebenar mengenai pematuhan perlembagaan PN.
“Apabila pengerusi gabungan begitu lantang menuding jari, tetapi seolah-olah tidak memahami perlembagaan gabungannya sendiri.
“Notis RoS bertarikh 22 September 2026 telah dijawab PN. Menurut RoS, penjelasan itu gagal menyangkal asas pembatalan. Itu yang beliau sebagai pengerusi jawab dan bukan mengalihkan dengan cerita kerajaan takut,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Danish turut mencabar kepimpinan PN supaya mendedahkan notis RoS serta jawapan yang dikemukakan gabungan itu bagi membolehkan rakyat menilai sendiri perkara berkenaan.
Menurutnya, jika PN berpendapat keputusan RoS itu tidak tepat, gabungan berkenaan sepatutnya mencabar keputusan tersebut melalui saluran undang-undang dan membuktikan pendiriannya di mahkamah.
Beliau menegaskan, kepimpinan PN perlu bertanggungjawab menjelaskan isu berkenaan, bukannya mengalihkan perhatian dengan menuding jari kepada pihak lain.
“Perlembagaan gabungan sendiri kenalah faham dan patuhi. Kalau sendiri yang langgar, jangan orang lain pula dipersalahkan.
“Yang bergaduh sesama sendiri itu kamu, tetapi orang luar pula dituduh menjadi punca. Beria-ia mahu mengurus negara, sedangkan rumah tangga sendiri berkecamuk pun masih sibuk mencari siapa hendak dipersalahkan!” katanya.
Terdahulu, Ahmad Samsuri menyifatkan pembatalan pendaftaran PN oleh RoS sebagai tindakan luar biasa dan berkemungkinan bermotifkan ketakutan pihak tertentu.
Beliau mendakwa keputusan itu dibuat dalam keadaan yang mencurigakan, khususnya apabila tindakan berkenaan berlaku sehari sebelum perkara itu dibawa ke mahkamah serta menjelang pengisytiharan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ahli Parlimen Kemaman itu turut mengaitkan tindakan berkenaan dengan surat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada PN berhubung penggunaan logo gabungan itu, sambil mendakwa terdapat pihak yang mahu menyekat perkembangan politik PN.

