
KANGAR – Hak keahlian Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digantung selama dua penggal pemilihan parti berkuat kuasa 14 Oktober lalu.
Keputusan itu dibuat Lembaga Disiplin Bersatu selepas bersidang pada 13 Oktober lalu yang turut menyaksikan Abu Bakar dilucutkan daripada semua jawatan disandangnya dalam parti berkenaan.
Berdasarkan notis penggantungan bertarikh 14 Oktober 2026 yang dilihat, tindakan terhadap Ketua Bersatu Bahagian Kangar itu dibuat mengikut Fasal 22.5 Perlembagaan parti.
Menurut notis berkenaan, keputusan penggantungan dibuat susulan pelanggaran Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
“Pihak Lembaga Disiplin telah bersidang pada 13 Oktober 2026 dan memutuskan bahawa YAB digantung hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 bagi tempoh dua penggal pemilihan Bersatu.
“Penggantungan itu berkuat kuasa mulai tarikh surat ini dikeluarkan atas tindakan YAB melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli,” menurut notis tersebut.
Notis itu turut memaklumkan bahawa penggantungan berkenaan menyebabkan Abu Bakar secara langsung dilucutkan daripada segala jawatan yang dipegangnya dalam Bersatu.
Beliau juga tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan atas nama parti sehingga tamat tempoh penggantungan tersebut.
Bagaimanapun, Abu Bakar masih diberikan ruang mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan Bersatu untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh notis berkenaan.
Notis tersebut tidak memperincikan bentuk pelanggaran yang didakwa dilakukan Abu Bakar sehingga membawa kepada tindakan disiplin berkenaan.
Pengerusi Bersatu Perlis, Izizam Ibrahim mengesahkan Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah digantung keahlian parti itu selama dua penggal.

