
LONG LAMA – Sebanyak 1,770 kes kehamilan remaja direkodkan di Sarawak sepanjang 2025, menurun 11.5 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus melepasi sasaran pengurangan tahunan yang ditetapkan kerajaan negeri.
Pegawai Pendidikan Daerah Baram, Matthew Laing Ngau berkata, penurunan itu merupakan perkembangan positif dalam usaha menangani isu kehamilan remaja, namun langkah pencegahan perlu diteruskan, khususnya di kawasan berisiko.
Menurutnya, berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), kes kehamilan remaja menyumbang 6.6 peratus daripada keseluruhan kes baharu antenatal yang direkodkan sepanjang 2025.
“Pencapaian ini tidak bermakna usaha kita boleh dihentikan. Masih terdapat beberapa trend yang memerlukan perhatian dan tindakan berterusan, khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Intervensi Sosial: Kesedaran dan Advokasi Pendidikan Seksual (KAPS) Peringkat Bahagian Miri di Daerah Telang Usan bagi 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Lama, pada Sabtu.
Matthew berkata, Telang Usan merupakan antara 11 daerah di Sarawak yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko berkaitan kehamilan remaja.
Menurutnya, walaupun jumlah keseluruhan kes mencatatkan penurunan, beberapa petunjuk sosial masih memerlukan perhatian serius semua pihak.
Beliau berkata, peratusan remaja hamil yang tidak berkahwin meningkat daripada 63.6 peratus pada 2024 kepada 70.2 peratus pada 2025.
Dalam tempoh sama, peratusan remaja hamil yang tidak bersekolah turut meningkat daripada 94.6 peratus kepada 95 peratus.
“Sebanyak 62.9 peratus kes kehamilan remaja pada 2025 melibatkan golongan berumur 18 hingga 19 tahun.
“Perkara ini menunjukkan kepentingan bimbingan dan penyampaian maklumat yang tepat kepada golongan remaja ketika mereka melalui fasa peralihan ke alam dewasa,” katanya.
Matthew berkata, perkembangan berkenaan menunjukkan keperluan untuk memperkukuh pendidikan dan intervensi sosial bagi memastikan remaja memperoleh maklumat serta bimbingan yang sewajarnya.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan pendidikan seksual yang bersesuaian dengan usia melalui kerjasama kerajaan, sekolah, ibu bapa dan komuniti bagi membantu remaja memahami risiko serta membuat keputusan yang bertanggungjawab.



