
KUDAT – Kerajaan Sabah bersedia memasuki fasa baharu pembangunan bagi memperkasa kemajuan dan kemakmuran negeri selaras dengan matlamat Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berkata, fasa lima tahun pertama pentadbirannya ditumpukan kepada usaha menstabilkan politik, memperkukuh kewangan, memantapkan pentadbiran, membina keyakinan pelabur, memperjuangkan hak negeri dan merintis semula projek tertangguh.
“Kestabilan perlu dimanfaatkan untuk menarik pelaburan, membina infrastruktur dan merancang masa depan Sabah bagi tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, bukannya sekadar memastikan kerajaan kekal berkuasa.
“Kerajaan dan politik yang stabil tiada nilainya jika isu rakyat gagal diselesaikan.
“Rakyat mengundi kita untuk mencari penyelesaian, bukan untuk mendengar alasan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 2026 di Dewan Tun Mustapha, di sini, pada Ahad.

Hajiji berkata, hasil negeri yang berjaya ditingkatkan sehingga mencecah RM7 bilion setahun bukan untuk dimegah-megahkan, sebaliknya perlu dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pembangunan, peluang dan pendidikan, agar kehidupan rakyat jelata lebih terbela.
Beliau mengakui rakyat masih berdepan masalah asas, khususnya bekalan air, jalan raya dan elektrik, namun kerajaan negeri sedang melaksanakan usaha berskala besar menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) termasuk 173 projek pembangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan 77 projek berkaitan bekalan air.
Katanya, projek itu melibatkan pembinaan dan penaiktarafan jambatan, jalan raya serta kemudahan bekalan air yang memerlukan masa melalui proses reka bentuk hingga pembinaan.
“Masalah yang telah wujud sejak puluhan tahun tidak boleh, malah mustahil dapat diselesaikan dalam satu malam tetapi yang penting, kerja-kerja sedang dijalankan.
“Walau sesukar mana pun cabarannya, Kerajaan Negeri tidak akan berhenti sehingga segala masalah dapat diselesaikan,” jelasnya.
Mengenai tuntutan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Hajiji berkata, termasuk hak ekonomi negeri, perkara itu terus menjadi keutamaan kerana berkait langsung dengan kekuatan kewangan negeri dan kemampuan menyediakan pembangunan lebih baik kepada rakyat.
“Kerajaan Negeri menggunakan fakta, data kewangan, asas perundangan dan persediaan teknikal lengkap bagi memastikan tuntutan dibawa secara berkesan di meja rundingan, sambil mengekalkan hubungan kerja yang baik dengan Kerajaan Persekutuan.
“Yang penting, Sabah mendapat hasil. Yang sudah muktamad, kita laksanakan dan yang masih interim, kita usahakan sehingga dimuktamadkan.
“Yang belum selesai, kita teruskan rundingan dengan hujah dan asas yang lebih kukuh,” ujarnya.



