
PUSA – Regata Tandang Sari berpotensi menjadi antara tarikan pelancongan yang mampu memperkenalkan daerah Pusa kepada pengunjung dari seluruh Sarawak dan luar negeri, sekali gus merancakkan ekonomi masyarakat setempat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata demikian ketika membacakan teks ucapan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Perasmian Regata Tandang Sari 2026 Edisi Ketiga di Dataran Tandang Sari, pada Sabtu.
Menerusi teks ucapan berkenaan, Abang Johari menegaskan bahawa penganjuran sukan tradisional itu bukan sekadar perlumbaan perahu, sebaliknya menjadi wadah memelihara warisan budaya serta memperkukuh semangat kebersamaan, keberanian dan kerjasama masyarakat.
Menurutnya, tradisi berkenaan perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda supaya kekal relevan seiring dengan pembangunan negeri.
“Regata Tandang Sari mempunyai potensi untuk menjadi salah satu tarikan pelancongan yang memperkenalkan Pusa kepada pengunjung dari daerah lain dan luar Sarawak.
“Acara seperti ini memberi peluang kepada kita untuk mengetengahkan warisan, budaya dan identiti masyarakat setempat,” menurut teks ucapan yang dibacakan Douglas.
Dalam pada itu, Abang Johari berharap penganjuran regata berkenaan dapat digabungkan dengan promosi makanan tradisional, hasil tempatan, kraftangan serta pelbagai aktiviti kebudayaan.
Menurutnya, pendekatan itu mampu memperluas manfaat ekonomi kepada penduduk, khususnya peniaga kecil, pengusaha makanan dan komuniti setempat.
“Selain itu, kepentingan aspek keselamatan, kebersihan, pengurusan pengunjung dan mutu penganjuran bagi memastikan acara berkenaan terus berkembang,”ujarnya.
Katanya, pengalaman yang baik mampu menggalakkan pengunjung kembali ke Pusa, sekali gus membantu memperkukuh reputasi daerah itu sebagai destinasi pelancongan.

Selain itu, Abang Johari turut menggalakkan penglibatan golongan muda dalam aktiviti sukan, kebudayaan dan kemasyarakatan sebagai usaha memastikan kesinambungan warisan tempatan.
“Generasi muda bukan sahaja pewaris tradisi, malah bakal memainkan peranan penting sebagai pemimpin dan penggerak pembangunan Sarawak pada masa hadapan,”katanya lagi.
Beliau berharap Regata Tandang Sari terus diperkukuh dari tahun ke tahun sebagai acara sukan tradisional, platform mempromosikan Pusa dan pemangkin kegiatan ekonomi masyarakat setempat.
Penganjuran acara berkenaan juga diharap dapat mengeratkan silaturahim serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Datuk Razaili Gapor; Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli; Timbalan Residen Bahagian Betong, Mohammad Nizam Wang dan Pegawai Daerah Pusa, Hamdan Katang.
Hadir sama ketua-ketua jabatan, ketua masyarakat dan ketua kaum.



