
KUCHING – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak berkemungkinan diadakan pada 12 atau 19 Disember depan, namun tarikh berkenaan masih bersifat spekulasi dan belum mendapat pengesahan rasmi.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kedua-dua tarikh itu antara kemungkinan yang diperkatakan susulan tempoh semakin singkat untuk mengadakan pilihan raya.
Menurutnya, tarikh 12 dan 19 Disember masing-masing jatuh pada hujung minggu, namun keputusan sebenar bergantung kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak serta ketetapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Sebarang spekulasi mengenai tarikh pengundian tidak boleh dianggap sebagai keputusan muktamad kerana pembubaran DUN masih tertakluk kepada proses yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Pertandingan Penulisan DayakDaily 2026 dan pelancaran buku Sarawak Folklore Book I di Hotel Imperial Kuching, pada Sabtu.
“Ruang masa untuk mengadakan PRN semakin terbatas dengan mengambil kira keperluan SPR menetapkan tarikh penamaan calon, tempoh berkempen dan hari pengundian,” katanya.
Beliau berpandangan pilihan raya berkemungkinan diadakan dalam tempoh November hingga Disember, namun menjangkakan proses persediaan SPR selepas pembubaran DUN boleh menyebabkan pengundian berlangsung pada Disember.
Katanya, persidangan DUN Sarawak yang berlangsung sehingga 21 Oktober perlu diselesaikan terlebih dahulu kerana melibatkan urusan penting, termasuk Belanjawan Sarawak 2027.
“Kelulusan belanjawan penting bagi memastikan urusan pentadbiran dan perbelanjaan kerajaan negeri dapat diteruskan pada tahun hadapan,” tambah beliau lagi.
Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, keputusan mengenai pembubaran DUN akan bergantung kepada pertimbangan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Pemimpin kerajaan lazimnya memilih waktu yang bersesuaian untuk memohon pembubaran DUN dan tidak semestinya menunggu sehingga penggal berakhir secara automatik,” katanya lagi.
Bagaimanapun, tarikh rasmi pembubaran DUN Sarawak dan hari pengundian PRN masih belum diumumkan.



