GEORGE TOWN – Hampir 5,000 pengunjung membanjiri Program MADANI Kita (PMK) di Kebun Bunga di sini sekali gus mencatat antara kehadiran tertinggi bagi penganjuran program berkenaan setakat ini.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, sambutan luar biasa itu melepasi sasaran minimum 2,000 pengunjung yang ditetapkan pihaknya bagi setiap penganjuran PMK.
Menurutnya, sasaran berkenaan ditetapkan tanpa melibatkan penambahan kos berbanding penganjuran program komuniti kerajaan sebelum ini.
“Untuk program seperti ini, kita meletakkan sasaran minimum 2,000 pengunjung dengan bajet yang sama, tanpa penambahan kos.
“Namun, sambutan PMK di Kebun Bunga sangat baik apabila 4,000 pengunjung hadir dan ia antara jumlah tertinggi yang kita catatkan setakat ini,” katanya.
Beliau berkata, antara faktor utama kejayaan PMK ialah pendekatan JKOM yang memberi penekanan kepada penglibatan langsung pemimpin serta komuniti tempatan.
Katanya, pendekatan itu berbeza berbanding sesetengah program kerajaan sebelum ini yang dilaksanakan secara sekali sahaja tanpa penglibatan menyeluruh masyarakat setempat.
“Di sini kita libatkan komuniti dengan aktiviti yang mereka suka, selain memberi ruang kepada peniaga tempatan untuk berniaga sepanjang program berlangsung.
“Itu antara kunci utama kerana masyarakat bukan sahaja datang mendapatkan maklumat mengenai inisiatif kerajaan, malah mereka sendiri menjadi sebahagian daripada program,” katanya.
Mohd Hisyamuddin berkata, sambutan terhadap program anjuran JKOM di beberapa negeri lain turut menunjukkan perkembangan positif.
Menurutnya, JKOM akan terus menggunakan pendekatan libat urus bersama komuniti bagi memastikan maklumat mengenai dasar serta inisiatif kerajaan dapat disampaikan secara terus kepada masyarakat.
PMK Kebun Bunga itu dirasmikan oleh Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik.
Menurut Choon Aik, pendekatan itu membantu masyarakat menjadi lebih cakna terhadap pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan, selain mengeratkan hubungan antara agensi dan komuniti.
“Program seperti ini perlu diperluaskan dan lebih banyak libat urus dilakukan .
“Saya yakin dengan program seperti ini rakyat di akar umbi akan turut mengetahui segala dasar kerajaan MADANI yang dilaungkan selama ini,” katanya.



