
SINGAPURA – Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) mengaktifkan amaran tahap tertinggi susulan kebakaran hutan dan tanah yang berterusan di Indonesia sehingga menyebabkan beberapa kawasan di Asia Tenggara diselubungi jerebu toksik.
“Amaran Tahap Tiga diaktifkan di kawasan selatan rantau itu,” menurut kenyataan ASMC yang berpusat di Singapura menerusi laman webnya pada Sabtu.
ASMC menggunakan sistem amaran empat peringkat, daripada Tahap Sifar hingga Tahap Tiga, bagi menilai risiko berlakunya jerebu rentas sempadan yang teruk.
Tahap tertinggi itu menunjukkan keadaan berisiko tinggi, termasuk peningkatan ketara dan berterusan jumlah titik panas, jerebu asap sederhana hingga tebal dalam tempoh 48 jam, cuaca kering berpanjangan serta tiupan angin yang membawa asap ke negara jiran ASEAN.
Amaran sama dilaporkan telah diaktifkan sebanyak dua kali sebelum ini, iaitu pada 26 Ogos dan 27 Mac lalu.
Jerebu yang berlarutan selama beberapa bulan itu turut menjejaskan kehidupan penduduk di sebahagian besar Asia Tenggara, termasuk menyebabkan penutupan sekolah serta peningkatan aduan berkaitan masalah pernafasan.
Di Indonesia, kebakaran hutan dan tanah yang semakin meluas turut mencetuskan gelombang protes di beberapa kawasan susulan ketidakpuasan hati orang ramai terhadap usaha kerajaan menangani krisis berkenaan.
Penunjuk perasaan mendesak kerajaan mempergiat operasi memadamkan kebakaran, mengambil tindakan lebih tegas terhadap syarikat yang bertanggungjawab serta memperkukuh perlindungan terhadap masyarakat yang terjejas akibat jerebu toksik.
Sementara itu, asap daripada kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan dilaporkan turut dikesan di atmosfera Jakarta susulan api yang terus merebak.
Operasi pemadaman yang diselaraskan bersama beberapa agensi bagaimanapun masih berdepan cabaran akibat keadaan cuaca dan kekurangan sumber air, sekali gus menyukarkan usaha membendung kebakaran.


