
KOTA KINABALU – Keputusan inkues kematian Zara Qairina Mahathir dijangka akan diumumkan pada 15 Januari 2027, manakala semua pihak perlu memfailkan hujahan bertulis selewat-lewatnya pada 15 Disember ini.
Wakil peguam kepada ibu Zara, Shahlan Jufri berkata, perkara itu dimaklumkan Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan ketika prosiding sebutan inkues berkenaan di mahkamah, hari ini.
Beliau berkata, Hakim Koroner turut menetapkan tarikh bagi sesi penjelasan oleh semua pihak seminggu sebelum keputusan diumumkan.
“Hakim Koroner meminta semua pihak membantu mengenal pasti isu percanggahan keterangan antara saksi, percanggahan bukti serta memberikan gambaran keseluruhan berhubung lawatan yang dijalankan di sekolah SMK Agama Tun Datu Mustapha.
“Dalam hujahan bertulis, beliau memerlukan pandangan semua pihak termasuk DPP (Timbalan Pendakwa Raya) dan peguam-peguam yang terlibat mengenai prosiding inkues ini.
“Ia termasuk saranan yang perlu diberikan bagi menambah baik prosiding inkues berkaitan sekolah, siasatan dan semua itu perlu dimasukkan dalam hujahan bertulis,” katanya kepada media di hadapan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, pada Jumaat.

Mengulas keseluruhan prosiding, Shahlan berkata, pihaknya bersyukur kerana inkues yang berlangsung selama 96 hari itu berjalan lancar.
“Prosiding berkenaan melibatkan keterangan daripada 83 saksi, manakala kira-kira 350 bahan eksibit dokumen telah dikemukakan di mahkamah.
“Ikues itu sebagai antara prosiding yang agak cepat dalam sejarah Malaysia, selain mengingatkan bahawa inkues berkenaan berlangsung serentak dengan perbicaraan di Mahkamah Kanak-Kanak,” ujarnya.
Shahlan berkata, pihaknya perlu meneliti semula nota prosiding yang berjumlah lebih 5,000 halaman, termasuk keterangan saksi, beberapa percanggahan yang dikenal pasti serta pandangan pakar psikiatri dan pakar tulisan tangan.
Katanya, semua perkara berkenaan akan diteliti dan dihuraikan dalam hujahan bertulis sebelum keputusan inkues diumumkan.
“Kami berharap keputusan yang akan dibuat nanti adalah adil kepada semua pihak,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Shahlan menjelaskan jumlah kutipan dana bagi tujuan inkues berkenaan hanya melebihi RM200,000 dan bukannya RM1 juta atau RM2 juta seperti yang disuarakan sesetengah pihak.
Menurutnya, dana itu telah diaudit pada April tahun ini oleh akauntan bertauliah bebas yang dilantik pihak anak guamnya bersama pasukan guaman, dengan keseluruhan kutipan digunakan khusus untuk inkues berkenaan dan tidak melibatkan perbelanjaan lain.
“Bagi pihak peguam, kami menjalankan kerja secara pro bono.
“Tidak ada satu sen pun digunakan bagi tujuan yuran guaman atau kos berkaitan perkhidmatan guaman kami,” kongsinya.



