
MIRI – Seramai 99 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan dan negara anggota ASEAN menyertai latihan simulasi pengurusan insiden biologi di Miri bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan mendepani ancaman kecemasan kesihatan awam.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, Bengkel Pengurusan Insiden Biologi ASEAN dan Latihan Simulasi Miri 2026 (MSE 2026) yang berlangsung dari 12 hingga 16 Oktober itu bertujuan meningkatkan keupayaan pengurusan kecemasan serta kerjasama antara agensi pada peringkat kebangsaan dan serantau.
Menurutnya, ancaman biologi sama ada yang berlaku secara semula jadi, akibat kemalangan, atau perbuatan yang disengajakan memerlukan tindakan pantas dan penyelarasan berkesan bagi melindungi kesihatan serta keselamatan masyarakat.
“Penglibatan pelbagai pihak mencerminkan kepentingan pendekatan seluruh kerajaan (whole-of-government) dalam menghadapi ancaman kesihatan awam yang semakin kompleks dan berpotensi memberi kesan merentasi sempadan negara,” katanya.
Hanifah yang juga Ahli Parlimen Mukah berkata, program lima hari anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak itu melibatkan wakil kementerian, pelbagai agensi kerajaan, serta peserta antarabangsa dari negara anggota ASEAN.
Jelas beliau, latihan simulasi berkenaan memberi peluang keemasan kepada peserta untuk menguji tahap kesiapsiagaan, meningkatkan kemahiran pengurusan kecemasan, serta memperkukuh komunikasi dan penyelarasan antara agensi. Ia turut menjadi platform untuk mengenal pasti kelemahan serta ruang penambahbaikan dalam prosedur tindak balas.
Sebagai rekod, penganjuran MSE 2026 juga menyokong usaha Rangkaian Pusat Operasi Kecemasan ASEAN (ASEAN EOC Network) dalam memperkukuhkan kerjasama serantau, perkongsian maklumat, dan pembangunan keupayaan.
Hanifah menegaskan, KKM akan terus memberikan tumpuan kepada latihan berterusan, pembangunan kapasiti anggota kesihatan, dan kerjasama strategik dengan agensi berkaitan serta rakan serantau bagi memastikan sistem kesihatan negara sentiasa bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan kecemasan.



