
SEREMBAN – Semua institusi pendidikan berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM) di Negeri Sembilan diarahkan tutup esok.
Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) dalam kenyataan memaklumkan, sepanjang tempoh penutupan itu, semua murid termasuk yang tinggal di asrama akan mengikuti kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bagi memastikan kesinambungan pembelajaran, selaras dengan ketetapan KPM.
“Ibu bapa dan penjaga diminta memastikan anak-anak mengikuti PdPR sepanjang tempoh penutupan sekolah.
“Pihak sekolah hendaklah memastikan pelaksanaan PdPR berjalan lancar serta kebajikan dan keselamatan murid, termasuk yang tinggal di asrama, sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.
JPNS berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa, termasuk bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan berkaitan, serta menyalurkan maklumat rasmi sekiranya terdapat perubahan terhadap pengoperasian institusi pendidikan.
Ibu bapa, penjaga, calon peperiksaan dan pihak sekolah turut dinasihatkan supaya sentiasa merujuk saluran rasmi JPNS bagi mendapatkan maklumat tepat dan terkini serta tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan.


