
KENAIKAN gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berpotensi membantu meringankan beban kos sara hidup golongan berpendapatan rendah (B40), khususnya pekerja yang menerima gaji minimum, kata Naib Ketua Wanita PKR, Loh Ker Chean.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh, yang mempersoalkan pihak yang akan menanggung kos susulan kenaikan gaji minimum berkenaan.
Katanya, pekerja berpendapatan rendah terus berdepan tekanan kos sara hidup apabila pendapatan tidak meningkat seiring dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
“Bagi pekerja berpendapatan rendah, tambahan RM300 sebulan boleh membantu menampung perbelanjaan dapur, pengangkutan, bil utiliti dan keperluan anak-anak. Dalam keadaan kos sara hidup yang terus menekan, tambahan pendapatan ini bukan perkara kecil,” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Beliau berkata, gaji minimum berfungsi sebagai perlindungan asas pendapatan bagi mengelakkan pekerja terus terperangkap dalam pekerjaan bergaji rendah, selain memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi turut dinikmati golongan yang menyumbang kepada pembangunan negara.
Ker Chean turut menegaskan bahawa kebajikan perusahaan kecil dan sederhana (PMKS) perlu diseimbangkan dengan kepentingan pekerja B40.
Katanya, kebimbangan mengenai kemungkinan majikan memindahkan kos tambahan kepada pengguna perlu ditangani melalui penguatkuasaan terhadap pencatutan, pemantauan harga serta bantuan bersasar kepada perusahaan yang benar-benar terkesan.
Beliau turut menyentuh ruang penyesuaian bagi PMKS dengan jualan tahunan di bawah RM50 juta yang disebut dalam Belanjawan 2027, sambil menegaskan bahawa perincian pelaksanaan dan keberkesanan langkah berkenaan perlu dipantau.
“Jika kenaikan gaji pekerja sentiasa dianggap sebagai ancaman kepada harga barang, bilakah pendapatan pekerja akan meningkat secara bermakna?” soalnya.
Menurutnya, isu kenaikan gaji tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kemungkinan peningkatan kos operasi, sebaliknya perlu mengambil kira keuntungan syarikat, produktiviti serta pembahagian hasil pertumbuhan ekonomi.
Ker Chean berkata, kenaikan gaji minimum bukan penyelesaian tunggal kepada masalah kos sara hidup dan perlu disokong dasar peningkatan produktiviti, latihan kemahiran, persaingan yang adil serta peluang pekerjaan dengan kadar gaji lebih baik.
Beliau turut menggesa kerajaan menerbitkan data berkala mengenai perubahan harga, pekerjaan dan pendapatan bagi membolehkan kesan pelaksanaan dasar gaji minimum dinilai secara telus.
“Tanggungjawab kerajaan ialah memastikan kenaikan pendapatan benar-benar meningkatkan taraf hidup rakyat, sementara majikan mendapat sokongan yang munasabah untuk menyesuaikan operasi dan meningkatkan produktiviti,” katanya.
Mengakhiri kenyataannya, Ker Chean mengkritik Akmal dengan menyifatkan beliau perlu memahami asas ekonomi makro sebelum mempersoalkan langkah meningkatkan gaji minimum.
“Kepada Akmal, kalau kemaruk sangat mahu kembali jadi abang besar dalam kerajaan, fahami dahulu asas-asas Makroekonomi 101,” katanya.

