
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan bahawa kemudahan pas perjalanan My50 akan diteruskan bagi memberi manfaat kepada kira-kira 300,000 pengguna perkhidmatan bas dan rel kendalian Prasarana di Lembah Klang.
Katanya, istimewa untuk tahun hadapan, kemudahan MyKomuter50 akan diperkenalkan untuk kira-kira 40,000 pengguna KTM Komuter, sekali gus membolehkan mereka menikmati penjimatan purata sehingga RM160 sebulan.
“Melalui kemudahan ini, wang pengguna dapat dijimatkan secara purata sehingga RM160 sebulan.
“Sementara itu, pas percuma diberikan kepada 360,000 murid sekolah, komuniti OKU (orang kurang upaya) dan kanak-kanak bawah enam tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam usaha meningkatkan mutu pengangkutan awam, Anwar menegaskan bahawa Prasarana dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) perlu mengambil tindakan segera bagi menangani masalah kerosakan tren serta gangguan perkhidmatan yang menjejaskan perjalanan harian pengguna.
Ujarnya, bagi penyelesaian jangka panjang, Prasarana akan melaksanakan pelaburan melebihi RM3.4 bilion untuk pemulihan menyeluruh perkhidmatan rel.
“Pada masa sama, kerajaan akan memperoleh 42 set tren baharu bagi perkhidmatan Ekspres Transit (ETS) dan KTM Komuter,” katanya.



