
TUMPAT – Seorang lelaki dipercayai penyeludup beras dikhuatiri lemas selepas terjun ke Sungai Golok bagi melarikan diri daripada serbuan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berhampiran Stor Haram Pok Ngoh, Pisau Raut di sini petang Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.25 petang itu, sepasukan anggota Cawangan Risik Batalion 8 PGA yang menjalankan rondaan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan mengesan sebuah perahu dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan berhampiran tebing sungai berkenaan.
Komander Briged Tenggara PGA, Ahmad Radzi Hussain berkata, kedua-dua suspek bertindak terjun ke dalam sungai sebaik menyedari kehadiran pasukan keselamatan sebelum berenang ke arah tebing Thailand.
“Seorang daripada mereka berjaya meloloskan diri ke tebing Thailand, manakala seorang lagi tenggelam dan hilang daripada pandangan serta dipercayai lemas,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, anggota bertugas cuba mengendalikan perahu berkenaan untuk memberikan bantuan kepada mangsa, namun usaha itu gagal selepas kipas enjin sangkut tersangkut pada kain.
Pemeriksaan ke atas perahu itu kemudian menemui 1,178 kilogram (kg) beras dan 100kg beras pulut dipercayai diseludup dari Thailand, bernilai keseluruhan RM5,412.
“Pasukan turut merampas sebuah perahu bersama sebuah enjin galah yang digunakan dalam kegiatan penyeludupan itu,” katanya.
Ahmad berkata, kejadian berkenaan dimaklumkan kepada Pegawai Pemerintah Medan Op Taring Wawasan Kelantan serta Pegawai Turus Gerakan Briged Tenggara PGA untuk tindakan susulan.
Menurutnya, Bilik Gerakan IPD Tumpat, Ketua Polis Balai Kuala Jambu dan Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor turut dimaklumkan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat serta siasatan lanjut.
Gambar: Sinar Harian






