PUTRAJAYA – Kenyataan bahawa Amerika Syarikat (AS) pernah cuba mengatur kepemimpinan politik Malaysia bersama Pas adalah dakwaan palsu
Kuasa Usaha Sementara Kedutaan AS, David H Gamble Jr berkata, AS tidak pernah berusaha untuk menentukan siapa yang memimpin Malaysia.
“Amerika Syarikat tidak pernah berusaha untuk menentukan kepemimpinan politik Malaysia dan sebarang laporan yang mendakwa sebaliknya adalah palsu,” katanya menerusi kenyataan, pada Ahad.
Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, bahawa seorang wakil Kedutaan AS pernah bertanya kepadanya mengenai calon yang dicadangkan parti itu sebagai Perdana Menteri.

Abdul Hadi mendakwa pertemuan berkenaan berlaku ketika Pas masih menjadi sebahagian daripada gabungan Pakatan Rakyat, sekitar waktu lawatan Presiden AS ketika itu, Barack Obama, ke Malaysia.
Beliau membuat dakwaan berkenaan ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS Ke-72 di Kota Bharu, pada Sabtu.
Abdul Hadi turut mendakwa Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum itu diberitahu oleh Duta AS bahawa kerajaan boleh dijatuhkan, dengan Amerika Syarikat bersedia memberikan bantuan.
Bagaimanapun, katanya, Takiyuddin dan Samsuri tetap dengan pendirian mereka dan tidak terpengaruh dengan tawaran berkenaan.
Abdul Hadi berkata, dalam pertemuan susulan dengan duta berkenaan, nama Tun Dr Mahathir Mohamad pula disebut sebagai calon berpotensi untuk menjadi Perdana Menteri dan cadangan itu mendapat persetujuan.
Takiyuddin ketika ditemui media selepas muktamar mengesahkan pernah mengadakan pertemuan dengan wakil kedutaan, namun berkata perbincangan tidak lebih daripada persoalan sama ada PAS mempunyai rancangan untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN), yang tidak dijawab oleh PAS.
Beliau menegaskan PAS tidak pernah mendapatkan campur tangan asing dalam politik negara dan keputusan sedemikian adalah hak parti lain, bukan pihaknya.
Kedutaan AS sebelum ini turut menegaskan bahawa hubungan diplomatiknya dengan Malaysia terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara







