
MALAYSIA perlu melangkah ke hadapan dengan membebaskan diri daripada politik ketakutan dan rasa curiga antara kaum yang sengaja dimainkan sehingga menenggelamkan pencapaian negara sejak merdeka.
Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, selepas hampir 70 tahun merdeka dan lebih enam dekad pembentukan Malaysia, persoalan utama yang perlu difikirkan ialah hala tuju negara untuk generasi akan datang.
“Dulu tidak ramai anak Malaysia yang dapat masuk universiti. Hari ini kita ada berjuta-juta graduan. Anak Malaysia sudah berjaya dalam hampir semua bidang di dalam dan luar negara.
“Banyak yang kita boleh banggakan, cuma kadang-kadang politik kita masih main cerita lama, masih ada yang suka mainkan cerita takut dan curiga antara kaum,” katanya dalam rakaman video sempena Hari Kebangsaan ke-69.
Beliau berkata, kecenderungan untuk terus menonjolkan perbezaan antara masyarakat menyebabkan rakyat terlupa sejauh mana Malaysia telah berkembang dan mencapai kemajuan bersama.
Tengku Zafrul berkata, keperluan membantu golongan Bumiputera yang masih memerlukan sokongan perlu terus diakui sebagai tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan.
Namun, katanya, pada masa sama perlu diakui bahawa ramai Bumiputera telah mencapai kejayaan dalam bidang pendidikan, profesional, perniagaan dan teknologi.
“Hari ini Bumiputera sudah ada di universiti, dalam bidang profesional, perniagaan dan teknologi di mana-mana. Untuk terus maju, kita tidak perlu rasa terancam dengan kejayaan orang lain,” katanya.
Menurut beliau, kepentingan Bumiputera boleh terus dipelihara tanpa mengabaikan masyarakat lain kerana banyak cabaran yang dihadapi rakyat adalah isu bersama.
Antaranya termasuk peningkatan kos sara hidup dan pendapatan yang masih tidak mencukupi bagi sebahagian besar rakyat.
“Macam mana nak naikkan gaji rakyat? Macam mana nak pastikan pendidikan betul-betul membuka peluang kepada anak-anak kita? Macam mana nak beri peluang kepada anak daripada keluarga biasa untuk hidup lebih senang daripada ibu bapa mereka?
“Itu yang saya nak tengok,” katanya.
Beliau berkata, latar belakang keluarga tidak seharusnya menjadi penentu kepada masa depan seseorang, sebaliknya setiap generasi perlu diberikan peluang untuk menikmati kehidupan yang lebih baik.
“Kalau mak ayah susah, tak semestinya anak kena juga susah. Kalau kita lahir daripada keluarga biasa, tidak bermakna kita tidak boleh pergi jauh,” katanya.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, Malaysia memerlukan sumbangan semua lapisan masyarakat bagi memastikan negara terus berkembang, termasuk Melayu, Cina dan India serta rakyat dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Setiap generasi mesti ada peluang untuk hidup lebih baik daripada generasi sebelumnya. Untuk buat semua itu, Malaysia perlukan semua orang, semua bakat, semua tenaga dan semua idea.
“Kekuatan sebenar Malaysia adalah rakyatnya.
“Kita boleh berbeza pendapat tentang politik, itu biasa. Tetapi jangan sampai perbezaan itu buat kita hilang kepercayaan antara satu sama lain,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, semangat kemerdekaan dan Hari Malaysia yang diperlukan ketika ini ialah membebaskan rakyat daripada rasa takut serta kecurigaan yang boleh digunakan untuk memecahbelahkan masyarakat.
“Bagi saya, itulah semangat Merdeka dan Hari Malaysia yang kita perlukan hari ini. Merdeka daripada rasa takut, merdeka daripada rasa curiga yang sengaja dimainkan untuk memecah-belahkan kita.
“Kita tahu siapa kita, kita tahu apa yang kita mampu buat dan kita yakin Malaysia boleh pergi lebih jauh,” katanya.







