
KUCHING – Sarawak mengesahkan kesemua fasiliti kesihatan di negeri itu kini bersedia menghadapi sebarang peningkatan kes pesakit akibat masalah jerebu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan dipastikan mencukupi berdasarkan kadar penggunaan semasa. Stok berkenaan merangkumi keperluan asas seperti pelitup muka tiga lapis, pelitup muka N95 serta silinder oksigen.
“Saya ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa fasiliti kesihatan Sarawak berada dalam keadaan bersedia dan mencukupi,” katanya.
Dr Sim mendedahkan, kes jangkitan saluran pernafasan akut (URTI) merekodkan peningkatan kepada 1,752 kes seminggu dalam beberapa minggu kebelakangan ini berikutan kemerosotan kualiti udara.

Kes konjunktivitis pula bertambah kepada 21 kes seminggu, namun pemerhatian mendapati situasi asma di seluruh negeri kekal stabil.
Golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan dinasihatkan supaya mengurangkan sebarang aktiviti fizikal di luar rumah bagi mengelakkan komplikasi.





