
KOTA KINABALU – Kerajaan negeri mengumumkan bantuan keseluruhan RM3,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang menjadi mangsa kebakaran di Kampung Numbak.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bantuan itu diberikan bagi meringankan bebanan mangsa yang terjejas.
“Alhamdulillah saya dapat melawat mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Numbak dan berjumpa dengan mangsa-mangsa kebakaran.
“Jadi saya ingin umumkan bahawa kerajaan memberi bantuan sebanyak RM3,000 kepada satu ketua isi rumah untuk meringankan bebanan mereka,” katanya kepada media selepas melawat mangsa kebakaran Kampung Numbak di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Likas, di sini. pada Isnin.

Hajiji memberitahu, bantuan berkenaan berupa RM1,000 daripada Kerajaan Negeri , RM1,000 daripada Kerajaan Persekutuan dan RM1,000 dari Yayasan Kebajikan Sabah
Selain itu, Hajiji berkata, kerajaan turut akan membantu mangsa kebakaran berkenaan untuk membina rumah mereka semula.
“Nanti itu akan diurus oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan juga Mayor (Datuk Bandar), sama ada di satu kawasan lain ataupun di tempat itu, kita tengok.,” kongsinya.
Hajiji turut mengumumkan Kerajaan akan membantu mangsa warganegara dengan menyediakan peralatan yang diperlukan bernilai RM20,000 untuk setiap KIR warganegara yang terjejas bagi membina semula rumah mereka yang musnah akibat kebakaran itu.
“Urusan pembinaan semula rumah akan dikendalikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, termasuk menentukan sama ada rumah berkenaan dibina di kawasan lain atau di lokasi asal.
“Bantuan peralatan untuk membina rumah akan diberikan kepada setiap KIR warganegara, sebagaimana pendekatan bantuan yang diberikan kepada mangsa kebakaran di kawasan lain seperti di Kudat baru-baru ini,” kongsinya.

Seramai 110 KIR, kesemuanya warganegara Malaysia, terjejas akibat kebakaran Kampung Numbak, dengan 73 KIR ditempatkan di PPS Dewan Damai dan 37 lagi di PPS Dewan Serbaguna Likas.
Dalam pada itu, Hajiji turut mengumumkan bantuan RM1,000, bakul makanan dan sebagainya kepada semua ketua isi rumah yang bukan warganegara Malaysia atas dasar kemanusiaan.
Kebakaran kira-kira pukul 1.40 pagi Ahad lalu memusnahkan 202 rumah setinggan atas air, selain meragut tiga nyawa.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, rancangan Filipina menaik taraf Pulau Balabac bagi tujuan ketenteraan Amerika Syarikat tidak mempunyai kaitan dengan Malaysia dan tidak seharusnya menimbulkan kebimbangan kepada Sabah.
“Jangan timbul isu itu. Amerika membuka kem tenteranya di kawasan Filipina, di Pulau Balabac. Itu kawasan negara Filipina. Ia tidak ada kaitan dengan negara Malaysia atau pun siapa,” katanya.





