
KANGAR – Isu perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi di sini tidak seharusnya diheret menjadi polemik politik, kaum atau agama sehingga boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Perlis menegaskan, sebarang tindakan penguatkuasaan melibatkan pemilikan tanah dan pembinaan perlu dilihat dari sudut kedaulatan undang-undang tanpa mengira kaum atau agama.
Ketuanya, Azzin Izzad Bahanudin berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berhubung perobohan kuil berkenaan.
“AMK Perlis berpandangan isu penguatkuasaan undang-undang tidak seharusnya diheret menjadi polemik politik, kaum atau agama sehingga boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.
“Kami bersetuju dengan prinsip yang ditegaskan Mufti Perlis bahawa negara ini mempunyai undang-undang yang mesti dihormati semua pihak,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Azzin, kebebasan beragama yang dijamin Perlembagaan Persekutuan tidak bermaksud peraturan berkaitan pemilikan tanah dan pembinaan boleh diketepikan.
Katanya, sekiranya sesuatu struktur dibina tanpa kebenaran atau hak milik yang sah dan proses sewajarnya telah dilaksanakan, tindakan penguatkuasaan perlu dihormati.
Bagaimanapun, beliau berkata, AMK Perlis tetap mempertahankan hak masyarakat Hindu serta penganut agama lain untuk mengamalkan agama masing-masing dengan sebarang penguatkuasaan melibatkan rumah ibadat perlu dilakukan secara berhemah dan penuh sensitiviti.
“Jangan politikkan agama. Hormati undang-undang, hormati hak beragama dan pelihara keharmonian,” katanya.
Sebelum ini, Rayer dilaporkan mengecam tindakan perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi dan membangkitkan soal kebebasan beragama yang dijamin Perlembagaan Persekutuan selain membandingkan pendekatan kerajaan Perlis dengan negeri di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Kenyataan itu kemudiannya mendapat reaksi Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang menegaskan Malaysia merupakan sebuah negara berundang-undang dan pembinaan sesuatu struktur termasuk rumah ibadat tidak boleh dilakukan sesuka hati tanpa mematuhi peraturan serta hak pemilikan tanah.





