“Cukuplah! Jangan biarkan anak-anak takut ke sekolah” – Yuneswaran

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj menggesa semua dakwaan berkaitan buli, penghinaan dan unsur perkauman yang dikaitkan dengan pemergian pelajar berusia 14 tahun, mendiang Keziah Nisha, disiasat sehingga ke akar umbi.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menjalankan siasatan secara menyeluruh, profesional dan tanpa prejudis bagi menentukan perkara sebenar yang berlaku kepada pelajar berkenaan.

“Saya ingin berhati-hati untuk tidak mendahului siasatan pihak berkuasa. Saya menyerahkan sepenuhnya kepada PDRM untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh, profesional dan tanpa prejudis bagi menentukan apa sebenarnya yang berlaku kepada mendiang adik Keziah Nisha.

“Namun begitu, setiap dakwaan yang dibangkitkan berhubung buli, penghinaan atau unsur perkauman mesti disiasat sampai ke akar umbi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Segamata berkata, sekiranya siasatan mendapati terdapat individu yang terbabit dalam perbuatan buli, intimidasi, penghinaan berunsur perkauman atau tindakan yang melanggar undang-undang dan peraturan sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengambil tindakan tegas tanpa kompromi mengikut bidang kuasa yang ada.

Menurutnya, tiada pihak wajar dilindungi atau sebarang kejadian disembunyikan kerana buli dan rasisme bukan perkara yang boleh dianggap sebagai gurauan.

“Buli bukan gurauan. Rasisme juga bukan gurauan.

“Kata-kata boleh meninggalkan luka yang tidak kelihatan. Lebih-lebih lagi apabila ia ditujukan kepada seorang anak yang sedang membesar dan mencari tempatnya dalam dunia,” katanya.

Beliau turut mengingatkan tragedi yang menimpa arwah adik Zara Qairina yang menurutnya membuka mata seluruh negara terhadap keseriusan isu buli dalam kalangan pelajar serta kepentingan setiap aduan murid didengar dan ditangani segera.

“Kita tidak boleh menunggu satu lagi tragedi sebelum bertindak,” katanya.

Yuneswaran menegaskan pendiriannya dalam isu berkenaan bukan disebabkan latar belakang kaum mangsa, sebaliknya kerana Keziah merupakan seorang anak Malaysia.

Katanya, tiada seorang pun rakyat Malaysia wajar dihina, dibuli atau dibuat berasa rendah diri kerana nama, warna kulit, bahasa, agama atau keturunan.

Beliau berkata, usaha membendung prejudis dan perkauman dalam kalangan kanak-kanak juga bukan tanggungjawab sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan peranan ibu bapa, keluarga, pendidik, masyarakat, pemimpin politik dan pencipta kandungan.

Menurutnya, sekolah seharusnya menjadi ruang pembinaan perpaduan negara dengan murid daripada pelbagai kaum dan latar belakang belajar serta membesar bersama.

Beliau turut menggesa setiap sekolah mewujudkan budaya yang membolehkan murid membuat aduan tanpa rasa takut atau bimbang dipersalahkan.

“Tiada seorang pun anak Malaysia patut takut untuk ke sekolah kerana siapa dirinya.

“Sekolah mesti selamat. Anak-anak mesti dilindungi. Buli mesti dihentikan. Perkauman tidak mempunyai tempat dalam kehidupan anak-anak Malaysia,” katanya.

Yuneswaran turut menyampaikan ucapan simpati dan dukacita kepada keluarga mendiang Keziah Nisha serta menggesa mangsa buli atau murid yang berasa tidak selamat supaya mendapatkan bantuan daripada individu dewasa yang dipercayai.

Related Posts

Malaysia nombor dua Asia Tenggara bagi prestasi penstriman internet

SHAH ALAM –  Kualiti rangkaian internet tetap di Malaysia semakin meningkat sehingga dinobatkan tempat kedua dalam kalangan lima negara terbaik di Asia Tenggara. Pencapaian itu berdasarkan data platform bebas pengukuran…

Lebih lanjut

teruskan membaca
SPRM ingatkan masyarakat jangan mudah percaya maklumat tular

PUTRAJAYA – Isu persepsi antara cabaran paling kritikal bukan sahaja terhadap organisasi kerajaan dan swasta, malahan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, Hisyam Mohd…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sebelah mata tidak melihat, impian Nurhadrieyana tetap terang

Sebelah mata tidak melihat, impian Nurhadrieyana tetap terang

Bil elektrik naik? TNB jelaskan mekanisme AFA dan faktor penggunaan

Bil elektrik naik? TNB jelaskan mekanisme AFA dan faktor penggunaan

Hari Malaysia medan muhasabah nasional, bina masyarakat matang

Hari Malaysia medan muhasabah nasional, bina masyarakat matang

Jika benar-benar kuat, UMNO perlu bertanding solo di Melaka – Tajuddin

Jika benar-benar kuat, UMNO perlu bertanding solo di Melaka – Tajuddin

Malaysia-Maldives perluas kerjasama pertahanan, hal ehwal Islam – PM

Malaysia-Maldives perluas kerjasama pertahanan, hal ehwal Islam – PM

Malaysia beri lampu hijau prinsip kemudahan AS$100 juta untuk Maldives – PM

Malaysia beri lampu hijau prinsip kemudahan AS$100 juta untuk Maldives – PM