
PUTRAJAYA – Kerangka perundangan pendidikan tinggi negara akan diperbaharui menerusi penggubalan akta baharu yang lebih komprehensif bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata, usaha berkenaan telah digariskan dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 menerusi agenda pembentukan One Higher Education Act.
Sehubungan itu, beliau mengambil maklum pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai hasrat memansuhkan AUKU ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka, hari ini.
Menurut Zambry, AUKU bukan sekadar akta yang mengawal selia hal ehwal atau kebebasan mahasiswa, sebaliknya menjadi akta induk yang menjadi asas kepada penubuhan, pentadbiran dan tadbir urus universiti serta kolej universiti.
“Justeru, pemansuhannya perlu disusuli dengan suatu kerangka perundangan baharu yang lebih menyeluruh, progresif dan sesuai dengan keperluan pendidikan tinggi masa kini serta masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, proses penggubalan akta baharu itu akan dilaksanakan secara inklusif dan menyeluruh dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.
Antara pihak yang akan terlibat termasuk kepimpinan universiti, ahli akademik, institusi pendidikan tinggi awam dan swasta, pemain industri, politeknik dan kolej komuniti (POLYCC), penyedia TVET, pakar perundangan serta mahasiswa.
Zambry berkata, matlamat kerajaan bukan sekadar memansuhkan AUKU, tetapi membina kerangka perundangan pendidikan tinggi yang lebih komprehensif dan berdaya hadapan.
Katanya, kerangka baharu itu akan memberi tumpuan kepada pengukuhan autonomi institusi, kebebasan akademik dan suara mahasiswa, selain memastikan aspek tadbir urus, akauntabiliti serta kecemerlangan institusi pendidikan tinggi terus terpelihara.
“Ini merupakan sebahagian daripada transformasi pendidikan tinggi negara yang telah kita mulakan menerusi RPTM 2026-2035 bagi memastikan sistem pendidikan tinggi Malaysia kekal relevan, dinamik dan mampu menghadapi perubahan landskap pendidikan global,” katanya.





