AYER KEROH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada sebab untuk istilah ‘sakau’ dipersoalkan apabila terdapat bukti kehilangan dana dalam Lembaga Tabung Haji (TH), termasuk jumlah berbilion ringgit yang dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, tindakan terhadap mana-mana pihak yang terbukti melakukan kesalahan perlu diteruskan tanpa mengambil kira kedudukan, pengaruh atau kecenderungan politik mereka.
“Ada orang tidak suka istilah sakau. Saya nak ulang di Melaka ini memang ada sakau dalam Tabung Haji. RM12 bilion hilang, bukan sakau?… memang ada sakau,” kata beliau ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR 2026, di sini hari ini.
Beliau berkata, kehilangan dana akibat perbuatan segelintir individu akhirnya memberi kesan kepada seluruh rakyat yang perlu menanggung kerugian berkenaan.
“Yang menyakau itu sesetengah sahaja, tetapi yang terpaksa bayar dan tanggung, seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama,” kata beliau.
Pada masa sama, Anwar mempersoalkan mengapa laporan RCI yang meneliti pengurusan TH tidak didedahkan kepada umum lebih awal, sedangkan laporan itu telah disiapkan sebelum beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.
Katanya, isu berkaitan laporan berkenaan tidak seharusnya disembunyikan atau dielakkan daripada dibincangkan secara terbuka, termasuk di Dewan Rakyat.
Dalam perkembangan sama, Anwar menzahirkan penghargaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan kerana tampil menjelaskan isu RCI TH ketika persidangan Parlimen pada Selasa lalu.
Beliau berkata, kerajaan telah mengarahkan supaya tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan berdasarkan hasil siasatan.
“Tidak kira dari parti mana, salah, tangkap dan dakwa,” kata beliau.
Anwar berkata, usaha menegakkan undang-undang tidak seharusnya dilihat sebagai tindakan bermotifkan dendam politik kerana beliau sendiri tetap menerima kritikan sama ada kerajaan mengambil tindakan atau sebaliknya.
Menurutnya, terdapat pihak yang kelihatan lantang memperjuangkan usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa, tetapi pendirian itu berubah apabila tindakan dikenakan terhadap pihak yang mempunyai hubungan atau sokongan politik mereka.
“Walaupun dia kelihatan pintar tetapi itu penuh hipokrasi sebenarnya, kerana bila tidak ambil tindakan kamu lembab, tetapi apabila kita bertindak, itu dendam,” kata Anwar.



