KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan penghargaan terhadap usaha berterusan Rabithah al-Alam al-Islami dalam memupuk nilai kesederhanaan, keamanan dan kerjasama antara agama di tengah-tengah ketidaktentuan global.
Beliau berkata, penghargaan itu disampaikan ketika menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung Rabithah al-Alam al-Islami, Sheikh Dr Mohammad Abdulkarim Alissa, di Putrajaya, petang tadi.
Menurut Anwar, pertemuan tersebut membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan berhubung perkembangan semasa dunia Islam serta inisiatif memperkukuh persefahaman antara penganut pelbagai agama.
Beliau berkata, perbincangan turut menyentuh cabaran yang dihadapi dunia Islam dan kepentingan memperkasakan umat melalui pendidikan, pembangunan ekonomi serta penguasaan sains dan teknologi, di samping mengangkat nilai keadilan, ihsan dan kemanusiaan sejagat.
“Kami juga sepakat, masa depan lebih aman dan stabil hanya dapat dibina melalui dialog berterusan, sikap saling menghormati serta keterbukaan dalam menjalin hubungan lebih erat antara masyarakat dan penganut pelbagai agama di seluruh dunia.
“Kami terharu dengan kejayaan Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ketiga di Kuala Lumpur baru-baru ini, yang berjaya menghimpunkan tokoh agama, ilmuwan dan pemimpin masyarakat daripada pelbagai latar belakang serta negara.
“Platform ini amat penting dalam membina persefahaman, merapatkan jurang perbezaan serta menyuburkan budaya dialog yang matang,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook malam tadi.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Mohammad turut berkongsi pandangan mengenai peranan Malaysia dalam memperkukuh hubungan antara dunia Islam dengan masyarakat antarabangsa, termasuk usaha membina jambatan persefahaman antara Timur dan Barat.




