Politik penyatuan ummah: Prinsip atau sekadar strategi pilihan raya?

PERKEMBANGAN politik mutakhir yang menyaksikan Pas mengambil pendirian memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu menimbulkan pelbagai persoalan mengenai hala tuju sebenar gabungan yang selama ini dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN).

Menurut Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, senario hari ini mengundang perdebatan tentang sejauh mana slogan ‘penyatuan ummah’ yang sering dilaungkan benar-benar berasaskan prinsip atau sekadar strategi politik yang berubah mengikut keperluan semasa.

Katanya, selama bertahun-tahun, rakyat disajikan dengan naratif bahawa PN merupakan wadah penyatuan orang Melayu dan umat Islam.

“Kerjasama antara Pas dan Bersatu dipromosikan sebagai satu bentuk perjuangan besar demi mempertahankan kepentingan agama dan bangsa.

“Namun apabila Pas sendiri memilih untuk menjarakkan diri daripada Bersatu, timbul persoalan yang sukar dielakkan: jika kerjasama tersebut benar-benar lahir daripada prinsip perjuangan ummah, mengapa hubungan itu kini terputus?” soalnya.

Menurut Mahfuz, keadaan ini memberikan gambaran bahawa slogan yang digunakan selama ini mungkin lebih bersifat alat politik daripada satu pegangan yang konsisten.

Apa yang dianggap sebagai rakan seperjuangan pada satu ketika boleh bertukar menjadi pihak yang ditinggalkan apabila percaturan politik berubah.

“Lebih menarik perhatian ialah Pas tidak secara tegas mengumumkan keluar daripada PN.

“Sebaliknya, parti itu mula kembali menggunakan istilah yang pernah popular dalam era Muafakat Nasional seperti ‘penyatuan ummah’ dan ‘electoral pact’,” ujarnya.

Perubahan naratif ini menimbulkan spekulasi bahawa Pas sedang membuka ruang kepada bentuk kerjasama politik baharu, termasuk kemungkinan mendekati semula UMNO dan Barisan Nasional.

Sekiranya senario tersebut menjadi kenyataan, UMNO perlu memberikan penjelasan yang jelas kepada rakyat mengenai asas kerjasama tersebut.

Ini kerana sepanjang tempoh kebelakangan ini, Pas sering dikaitkan dengan pendekatan politik yang menggunakan sentimen agama secara agresif, budaya melabel pihak lawan, serta naratif yang menimbulkan ketakutan terhadap kelompok yang berbeza pandangan politik.

“Pada masa yang sama, sebahagian kelompok dalam UMNO juga sering dikritik kerana memainkan sentimen perkauman secara sempit.

“Gabungan antara dua pendekatan politik sedemikian berpotensi menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan negara kerana ia boleh mengukuhkan politik berasaskan ketakutan, bukannya politik yang menyatukan masyarakat majmuk Malaysia.

“Hakikatnya, agama seharusnya menjadi faktor yang menyatukan rakyat, bukan alat untuk memecah-belahkan masyarakat demi mendapatkan sokongan politik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, kestabilan hanya dapat dicapai apabila politik dibina atas asas saling menghormati dan penyelesaian masalah rakyat.

Apa yang lebih membimbangkan ialah ketika rakyat berdepan pelbagai cabaran kehidupan, perbahasan politik masih sering berkisar tentang isu identiti dan sentimen.

“Rakyat hari ini lebih memerlukan penyelesaian terhadap peningkatan kos sara hidup, peluang pekerjaan yang berkualiti, masa depan anak muda, sistem pendidikan yang lebih baik, pembangunan teknologi, kemasukan pelaburan serta pengukuhan ekonomi negara.

“Namun apabila isu-isu tersebut gagal diberikan perhatian yang mencukupi, politik ketakutan sering menjadi jalan pintas untuk meraih sokongan. Isu kaum, agama, ancaman liberalisme dan pelbagai label lain terus dimainkan sehingga menenggelamkan perbahasan mengenai dasar dan penyelesaian sebenar,” jelasnya.

Justeru, Malaysia tidak akan mampu melangkah jauh jika politik terus berputar dalam kitaran yang sama. Negara memerlukan budaya politik yang matang, yang menilai kejayaan berdasarkan idea, dasar dan kemampuan mentadbir, bukannya berdasarkan siapa yang berjaya menakutkan rakyat dengan ancaman yang dicipta.

“Sudah tiba masanya rakyat menilai parti-parti politik berdasarkan rekod prestasi dan penyelesaian yang ditawarkan.

“Politik yang menukar musuh dan kawan setiap kali menjelang pilihan raya hanya akan menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi demokrasi.

“Masa depan Malaysia memerlukan politik yang membina perpaduan, merangsang pertumbuhan ekonomi, memperkukuh kestabilan serta memberikan harapan kepada generasi akan datang,” katanya.

Apa yang diperlukan bukanlah politik ketakutan, tetapi politik penyelesaian yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat dan negara.

Related Posts

Bersatu lemah tanpa Pas, pembangkang makin jauh tawan hati rakyat pada PRU16

PUTRAJAYA – Bersatu dijangka berdepan kesukaran untuk terus bertahan dalam persaingan politik negara selepas Pas memutuskan untuk bercerai dengan parti terbabit. Penganalisis politik dan hubungan antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM),…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Mahasiswa Malaysia di Jepun perlu timba pengalaman, hayati nilai masyarakat setempat – PM

TOKYO – Mahasiswa Malaysia yang menuntut di luar negara, khususnya di Jepun, disaran memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada untuk menimba pengalaman serta memahami nilai positif masyarakat setempat sebagai persediaan menyumbang…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

GPN Sabah perkukuh perlindungan pengguna, kos sara hidup

GPN Sabah perkukuh perlindungan pengguna, kos sara hidup

Selangor-Singapura teroka peluang pelaburan dan rangkaian baharu

Selangor-Singapura teroka peluang pelaburan dan rangkaian baharu

Bersatu lemah tanpa Pas, pembangkang makin jauh tawan hati rakyat pada PRU16

Bersatu lemah tanpa Pas, pembangkang makin jauh tawan hati rakyat pada PRU16

Politik penyatuan ummah: Prinsip atau sekadar strategi pilihan raya?

Politik penyatuan ummah: Prinsip atau sekadar strategi pilihan raya?

Mahasiswa Malaysia di Jepun perlu timba pengalaman, hayati nilai masyarakat setempat – PM

Mahasiswa Malaysia di Jepun perlu timba pengalaman, hayati nilai masyarakat setempat – PM

RM7.5 juta projek tembok keselamatan, jalan dan pos kawalan Pulau Sebatik

RM7.5 juta projek tembok keselamatan, jalan dan pos kawalan Pulau Sebatik