
PIHAK berkuasa Israel dilaporkan melarang pelaksanaan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Aqsa dengan alasan sekatan keselamatan yang dikenakan susulan konflik berterusan dengan Iran.
Larangan tersebut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat Palestin yang kemudiannya menyeru umat Islam agar berkumpul di sekitar Kota Lama bagi menunaikan solat sedekat mungkin dengan kawasan masjid berkenaan sempena sambutan berakhirnya bulan Ramadan, lapor Anadolu.
Terdahulu, pasukan polis Israel dilaporkan menggunakan kekerasan termasuk belantan, bom bunyi serta gas pemedih mata terhadap penduduk Palestin yang menunaikan solat di luar tembok Kota Lama sebagai tanda bantahan terhadap sekatan yang dikenakan sepanjang Ramadan.
Dalam perkembangan berkaitan, suasana di Baitulmaqdis Timur yang lazimnya meriah menjelang Aidilfitri bertukar suram. Kawasan Kota Lama yang kebiasaannya dipenuhi pengunjung dilihat lengang seolah-olah bandar tidak berpenghuni.
Pihak berkuasa Israel turut menghadkan akses ke kawasan berkenaan dengan alasan larangan perhimpunan, selain menghalang peniaga Palestin daripada membuka premis masing-masing. Hanya farmasi serta kedai makanan asas dibenarkan beroperasi.
Beberapa peniaga Palestin yang enggan dikenali kerana bimbang dikenakan tindakan balas memaklumkan bahawa sekatan tersebut memberi kesan besar terhadap sumber pendapatan mereka, sekali gus menjerumuskan mereka ke dalam tekanan ekonomi yang serius.






