BUKIT MERTAJAM – Sebarang perselisihan kecil yang berlaku dalam negara perlu ditangani segera agar tidak berkembang menjadi krisis yang boleh menjejaskan keamanan serta kestabilan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, perpaduan rakyat serta keselamatan negara perlu sentiasa diberi keutamaan, khususnya ketika Malaysia berdepan cabaran ekonomi dan ketidaktentuan dunia akibat konflik antarabangsa.
“Sebab kita belajar, kalau mula bergaduh saja, hancur negara, ekonomi habis, orang ada kerja pun hilang kerja, yang hidup sihat pun terkorban.
“Jadi, kita jangan tunggu sampai keadaan itu, kerana kita bernasib baik masih lagi bertahan,” katanya ketika berucap pada program Santai Akhir Ramadan Bersama Pimpinan Komuniti Permatang Pauh di Dewan Orang Ramai Permatang Pasir, di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata, sebarang isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum perlu diselesaikan melalui saluran undang-undang serta rundingan yang berhemah, bukannya didorong emosi atau provokasi.
Beliau turut mengingatkan rakyat agar terus memelihara semangat kebersamaan dan mengelakkan perpecahan bagi memastikan keharmonian negara kekal terpelihara.
“Jaga keamanan negara kerana kita ada pelbagai kaum dan agama.
“Mana ada negara di dunia yang ada pelbagai kaum, pelbagai agama, boleh aman dan tenang seperti (Malaysia) ini.
“Panas sikit, tak puas hati sikit, merajuk sikit, itu biasalah tak apa boleh tahan lagi tetapi jangan gaduh,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar memuji sikap toleransi yang diamalkan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini yang menurutnya menjadi kekuatan utama Malaysia dalam mengekalkan keamanan.
Katanya, kerajaan sentiasa memantau tahap keselamatan negara melalui mesyuarat berkala termasuk bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN), selain menggerakkan agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan keadaan kekal terkawal.
Katanya, kerajaan juga mengarahkan pemantauan rapi dilaksanakan di semua peringkat bagi memastikan keselamatan negara terus terpelihara ketika berdepan pelbagai cabaran semasa.
“Negara lain sedang bergolak, ekonomi mereka jatuh, nilai mata wang merosot. Kita masih bertahan kerana kestabilan dan kita urus dengan baik,” katanya.





