
DARO – Seorang wanita dikenali sebagai Suriya Merais, berusia 53 tahun dilaporkan hilang di Kampung Betanak, Pulau Bruit, di sini, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 8.15 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro dikerahkan ke lokasi.
Menurutnya, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di tempat kejadian pada 9.19 malam.

“Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapatkan maklumat mangsa serta kronologi kejadian daripada pihak polis dan penduduk kampung.
“Operasi pencarian awal dimulakan pada 9.26 malam dalam radius satu kilometer dari lokasi terakhir mangsa dipercayai berada,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, sehingga jam 10.30 malam, mangsa masih gagal dikesan.
Beliau berkata, taklimat berkaitan operasi turut diadakan bersama keluarga mangsa sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan pada 10.50 malam.
Operasi SAR disambung semula pagi ini bagi meneruskan usaha mengesan mangsa.






