
IPOH – Kestabilan politik serta tatakelola kerajaan yang berintegriti menjadi pemacu utama keyakinan pelabur sehingga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 6.3 peratus pada suku keempat 2025, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, pencapaian itu turut didorong komitmen bersepadu semua pihak termasuk anggota keselamatan dan kepimpinan Kerajaan MADANI di setiap peringkat, sekali gus meletakkan Malaysia pada landasan ekonomi yang kukuh.
“Walaupun negara masih berdepan beberapa cabaran, pendapatan rakyat menunjukkan peningkatan, manakala kadar pengangguran dan inflasi kekal rendah. Angka rasmi yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia semalam amat membanggakan, malah lebih baik daripada jangkaan dan kadar pelaburan juga tertinggi dalam sejarah,” katanya.
Menurut Anwar, faktor keamanan, kestabilan politik dan pengurusan ekonomi yang baik hasil tatakelola berkesan menjadi asas kepada pertumbuhan tersebut.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Dasar Kasih Keluarga Negara (DKKN) dan Jelajah Sejahtera MADANI Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah, di sini, Sabtu.
Hadir sama isteri Perdana Menteri, Dr Wan Aziziah Ismail; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri; serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Mengulas lanjut, Anwar berkata prestasi ekonomi yang memberangsangkan membolehkan kerajaan menyalurkan semula hasil negara secara langsung kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif kebajikan, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan peruntukan kira-kira RM15 bilion setahun.
Selain itu, katanya, kerajaan turut memperuntukkan sekitar RM18 bilion bagi pelarasan elaun dan gaji penjawat awam yang telah lama tidak disemak.
“Dalam soal ekonomi, jika negara aman, ekonominya akan baik. Malaysia mempunyai potensi ekonomi yang sangat besar di Asia Tenggara. Oleh itu, hentikan amalan mencuri harta rakyat, sakau atau rasuah, dan kita mampu bangkit lebih kukuh,” katanya.





