KUALA LUMPUR – Penjenamaan semula UMNO secara holistik menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16 disifarkan pendekatan yang dilihat mampu meraih keyakinan masyarakat, khususnya orang Melayu terhadap parti tersebut.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah berkata, ia dilihat strategi yang berlandaskan keperluan semasa terhadap landskap politik tanah air khususnya untuk parti tunjang Melayu itu.
Beliau menyakini perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 menyokong cadangan Penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi menerima kemasukan atau penyertaan semula mana-mana pihak baik secara individu atau secara en bloc ke dalam parti itu.

“Salah satu pendekatan presiden berkaitan kembalikan rumah bangsa ini dan disokong penuh oleh perwakilan dan semestinya apabila penyatuan ini dibuat secara terbuka kepada umum ini menunjukkan keterbukaan presiden yang tidak berbelah bahagi tanpa ada paksaan.
“Jadi, saya lihat juga salah satu yang ingatkan kepada perwakilan adalah penjenamaan semula komponen BN mahupun UMNO untuk kita menggalakkan keyakinan orang luar terhadap UMNO yang sentiasa menekankan pembelaan khususnya orang Melayu kepada,” katanya Ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), pada Jumaat.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kerjasama rentas politik dan keterbukaan terhadap parti lain dilihat sebagai satu keperluan dalam menghadapi realiti politik semasa.
Beliau berpandangan, landskap politik semasa menuntut pendekatan baharu yang tidak lagi tertumpu kepada dominasi atau kekuatan angka, sebaliknya berasaskan kebolehan untuk berunding.

“Perundingan politik yang sebenar dalam senario politik semasa ini bukan lagi soal menjadi dominan atau memiliki jumlah angka yang paling tinggi. Sebaliknya, ia berkait rapat dengan keupayaan untuk berunding.
“Apa yang cuba dibawa oleh Presiden UMNO dalam ucapan dasarnya adalah untuk memberi kefahaman kepada ahli-ahli UMNO mengenai dua perkara utama.
“Pertama, realiti dinamik politik semasa.
Kedua, keperluan untuk mengadakan kerjasama rentas politik serta keterbukaan terhadap parti-parti lain,” katanya.






