
KUALA LUMPUR – Pengumuman UMNO untuk bergerak secara solo pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) disifatkan sebagai usaha menonjolkan imej parti yang tegas dan berprinsip, namun langkah itu berisiko tinggi jika tidak disokong dengan strategi konkrit serta keupayaan dalam membentuk kerajaan sendiri.
Pemerhati hubungan antarabangsa dan politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, sejarah membuktikan sokongan pengundi Melayu terhadap UMNO tidak dibina semata-mata melalui retorik atau slogan identiti, sebaliknya berpaksikan keupayaan parti membina gabungan strategik, menunaikan janji pembangunan serta mengurus kerajaan dengan hasil yang jelas dan praktikal.
“Keberkesanan UMNO sebelum ini terletak pada kredibiliti dan praktikaliti pentadbiran. Ia membuktikan sokongan Melayu datang daripada keyakinan terhadap keupayaan mengurus kerajaan, bukan sekadar naratif atau slogan politik semata-mata.
“Kini, pengumuman solo tanpa bukti jelas bahawa UMNO mampu membentuk kerajaan sendiri menimbulkan persoalan serius tentang keberkesanan strategi tersebut. Politik Malaysia yang berbilang parti dan berbilang kaum memerlukan kerjasama untuk mengekalkan kestabilan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.
Tanpa strategi konkrit, Nur Ashikin berkata, gerakan solo UMNO bukan sahaja berisiko menyebabkan undian Melayu terpecah, malah, memberi kelebihan kepada pihak lawan, dan menimbulkan persepsi bahawa parti lebih mengutamakan imej daripada kemampuan praktikal.
Beliau berpendapat, dari perspektif hubungan antarabangsa, tindakan tersebut menghantar isyarat bercelaru kepada pelabur dan pemerhati global.

“UMNO cuba menegaskan identiti politik sendiri, tetapi tidak jelas sama ada parti mampu membentuk kerajaan stabil atau sekadar mempamerkan drama politik semata-mata.
“Jika mahu mengekalkan naratif solo, UMNO mesti menunjukkan bukti nyata, strategi menang kerusi, manifesto Melayu yang konkrit, dan kemampuan mengurus kerajaan tanpa bergantung kepada gabungan.
“Tanpa tindakan itu, solo UMNO bukan simbol keberanian, tetapi risiko berpotensi menjejaskan kredibiliti parti dan memecah undi pengundi Melayu, berbeza dengan kejayaannya sebelum ini yang menekankan gabungan strategik dan polisi yang dapat dilaksanakan,” katanya.
Terdahulu, UMNO dan Barisan Nasional (BN) sekali lagi memberi isyarat jelas untuk bergerak solo dalam mendepani PRU16.
Perwakilan UMNO yang menghadiri sesi taklimat tertutup Presiden UMNO pada Rabu memaklumkan perkara itu antara disebut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada pimpinan utama parti di akar umbi ketika menyentuh persiapan parti mendepani PRU16 kelak.
Bagaimanapun, beliau berkata, Ahmad Zahid menegaskan meskipun BN bergerak solo, parti perlu juga menerima dinamika politik semasa yang menuntut UMNO menjalin persefahaman dengan parti yang kini berada di luar BN.







