
SIBU – Masyarakat digesa untuk terus memperteguh nilai perpaduan dan keharmonian menjelang sambutan Krismas serta ketibaan Tahun Baharu 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, sambutan Krismas bukan sekadar perayaan keagamaan sebaliknya membawa mesej sejagat yang merentasi kaum dan agama termasuk kasih sayang, keprihatinan serta semangat saling menghormati.
Menurutnya, nilai tersebut wajar dijadikan amalan dalam kehidupan seharian bagi memperkukuh hubungan dalam kalangan keluarga, rakan serta komuniti setempat.
“Krismas mengingatkan kita tentang kepentingan sifat belas kasihan, kebaikan hati dan semangat memberi tanpa mengharapkan balasan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pra-Krismas dan Sambutan Tahun Baharu 2026 anjuran Persatuan Melanau Sibu (PMS) di sebuah hotel pada Rabu.
Dalam pada itu, Wong merakamkan penghargaan kepada kepemimpinan PMS atas peranan aktif persatuan berkenaan dalam memelihara budaya, adat resam dan nilai masyarakat Melanau yang disifatkannya sebagai elemen penting dalam kepelbagaian budaya Sarawak.
Beliau berkata, warisan budaya Melanau merupakan khazanah bernilai yang bukan sahaja memperkayakan landskap sosial negeri malah perlu dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda agar terus kekal relevan.
Mengulas mengenai ketibaan Tahun Baharu 2026, Wong menggesa masyarakat agar melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan serta mengambil iktibar daripada pengalaman lalu dalam menghadapi cabaran mendatang.
Beliau turut menggesa golongan belia Melanau supaya terus memainkan peranan aktif dan menyumbang secara positif kepada pembangunan masyarakat selain mengekalkan semangat perpaduan yang menjadi kekuatan komuniti sejak sekian lama.
Foto: Pusat Khidmat Bawang Assan







