
PUTATAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas, Datuk Awang Husaini Sahari yakin kemenangan akan berpihak kepadanya meskipun menghadapi persaingan 10 penjuru, termasuk menentang abangnya, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari.
Beliau menyifatkan persaingan 10 penjuru di kerusi terbabit sebagai lambang kematangan demokrasi dan keyakinan rakyat untuk menilai calon terbaik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Menurutnya, keterbukaan pelbagai parti dan calon bebas untuk bertanding mencerminkan proses demokrasi yang sihat serta memberikan lebih pilihan kepada pengundi di Petagas.
“Saya pasti yakin (boleh menang walaupun menghadapi pertembungan 10 penjuru).
“Ini melambangkan satu proses demokrasi yang amat sihat di dalam negara kita ini dan ditunjukkan dalam Pilihan Raya Negeri Sabah, di mana semua individu dan parti-parti bebas untuk bertanding.
“Masing-masing memiliki agenda mereka dan terpulang kepada rakyat untuk menilai parti-parti dan calon pilihan mereka,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) ketika ditemui selepas beramah mesra bersama penyokong PH yang hadir bagi penamaan calon di Dewan Sri Putatan, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Awang Husaini berkata, pihaknya menggunakan pendekatan berkempen tidak hanya terbatas secara fizikal, malah turut dilakukan menerusi media sosial secara meluas bagi memastikan semua lapisan pengundi dapat didekati.

Menurut beliau, tahap kesiapsiagaan jentera PH dalam keadaan baik dan sudah bersiap sedia sebelum hari penamaan calon dalam membantu memastikan parti mampu menawan kerusi itu semula.
“Sasaran meliputi semua kaedah kempen yang ada kerana sekarang ini zaman itu sudah berubah. Bagaimanapun, kita masih menggunakan sistem.atau cara tradisional.
“Di mana, kita masih berkempen secara kelompok dari rumah ke rumah dan kita juga akan ada sistem terbaharu dengan menggunakan sosial media dan sebagainya,” katanya.
Terdahulu, 10 penjuru itu menyaksikan Awang Husaini bukan sahaja bakal berentap menentang abangnya, malah beliau turut menghadapi saingan bersama bapa saudaranya, Datuk Uda Sulai daripada calon Warisan.
Terdahulu, Awang Husaini tiba di pusat penamaan calon tersebut kira-kira pukul 8.45 pagi bersama para penyokong PH serta calon DAP yang juga mewakili PH, Datuk Chan Foong Hin bagi kerusi DUN Tanjung Aru.
Turut hadir mengiringi dua calon PH itu ialah Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan ahli-ahli Parlimen PH antaranya Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Bentong. Young Shefura Othman.
Dalam pada itu ketua pengurus pilihan raya Masawi Salleh turut mengumumkan kerusi DUN Petagas turut ditandangi Aslin Samat (Parti Impian Sabah), Sabreezani Sabdin Ghani (Anak Negeri), Dr Mohd Afifi Shaiffuddin (PN-Pas), Lee Nyuk Soon @ Jason Lee (UPKO) dan Patrick @ Peter Manius (Bebas/IND), Adelaide Cornelius (KDM), dan Annita Shiela F.Among (STARSabah)



